Pangkalan tentera AS di Syria diserang militia pro-Iran


Militia pro-Iran dikatakan berbalas tembakan dengan pasukan gabungan diketuai AS di timur Syria, semalam. – Gambar fail EPA, 29 Jun, 2021.

MILITIA pro-Iran berbalas tembakan dengan pasukan gabungan diketuai Amerika Syarikat (AS) di timur Syria, semalam.

Insiden itu dimaklumkan kumpulan pemantau perang dan pasukan gabungan terbabit, ketika ketegangan semakin memuncak susulan tindakan AS melancarkan serangan udara di Iraq dan Syria pada malam sebelumnya.

“Pasukan AS diserang roket di timur Syria tetapi tiada yang terkorban.

“Anggota bertindak balas dengan melepaskan tembakan artileri ke arah posisi roket dilancarkan,” kata jurucakap pasukan gabungan, Wayne Marotto menerusi Twitter.

Kumpulan pemantau peperangan Syrian Observatory for Human Rights melaporkan tembakan dilepaskan militia pro-Iran ke arah pangkalan AS di fasiliti minyak Al-Omar, timur Syria.

Katanya, pasukan gabungan melakukan serangan balas dengan melancarkan tembakan artileri berat ke bandar Al-Mayadeen yang dikuasai militia.

Kejadian menyusul beberapa jam selepas Setiausaha Negara AS Antony Blinken menegaskan serangan udara AS terhadap pejuang pro-Iran di Iraq dan Syria pada malam kelmarin, memberi mesej kuat supaya tidak berterusan menyerang kepentingan AS di Iraq.

Serangan udara AS itu adalah kedua seumpamanya ke atas sasaran pro-Iran sejak Presiden AS Joe Biden mengambil alih kuasa pentadbiran.

Ia mencetuskan kebimbangan peningkatan ketegangan baharu AS-Iran ketika usaha sedang dilakukan bagi menghidupkan semula perjanjian nuklear 2015 antara Tehran dengan kuasa dunia. – AFP, 29 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen