PELAKON dan pengarah Amerika, George Clooney akan menerbit, mengarah dan berlakon dalam siri terbaru “Catch-22”, siri telivisyen pertamanya sejak meninggalkan “ER” hampir dua dekad lalu.
Siri itu hanya mempunyai enam episod, kata Amy Powell, presiden Paramount Television- studio yang akan menerbitkan rancangan itu bersama-sama Anonymous Content- dalam sebuah wawancara dengan Holloywood Reporter.
Rundingan untuk menayangkan siri itu di saluran Hulu sedang dilakukan, kata sumber mengetahui perkara itu kepada AFP sekaligus mengesahkan laporan beberapa media AS.
Siri itu adalah adaptasi karya Joseph Heller pada 1961 yang mengisahkan sekumpulan juruterbang berdepan situasi mencabar.
Clooney yang berusia 56 tahun dan pernah dua kali menang Oscar akan menerima bayaran AS$1 juta untuk satu episod, menurut Powell.
Siri ini akan menjadi siri pertama pelakon terkenal itu selepas drama dibintanginya pada awal 90-an, ER yang melonjakkannya ke puncak kerjaya.
Clooney memainkan watak Doktor Doug Ross sebelum meninggalkan siri itu untuk menceburi arena layar perak. Beliau muncul beberapa kali sebagai bintang undangan terutama pada 2009 untuk musim ke lima belas dan terakhir drama itu. – AFP, 14 Januari, 2018.
Komen