PERDANA Menteri Sweden Stefan Lofven yang kalah usul undi tidak percaya minggu lalu, berdepan pilihan jelas sama ada akan mengadakan pilihan raya dengan segera atau meletak jawatan.
Pemimpin Sosial Demokrat itu ada masa tujuh hari sejak usul undi tidak percaya, dalam usahanya mendapatkan majoriti Parlimen.
Beliau menghadapi saat akhir untuk meyakinkan parti bagi mewujudkan gabungan yang lebih stabil, bagaimanapun pilihannya sangat terhad.
Usul tidak percaya itu dibuat Demokrat sayap kanan, selepas sayap kiri menyatakan merancang usul terhadap rancangan untuk melonggarkan kawalan sewa.
Cadangan bagi pasaran sewa berpotensi membolehkan tuan tanah secara bebas menetapkan sewa untuk pangsapuri baharu, yang dilihat bertentangan dengan model sosial Sweden dan ancaman terhadap hak penyewa.
Parti sederhana konservatif dan Demokrat Kristian menyokong usul itu, yang disokong 181 anggota daripada 349 kerusi di Parlimen.
Usaha terakhir untuk menarik undi Parti Kiri, yang memegang 27 kerusi, gagal.
Jika pilihan raya diadakan, ia tambahan kepada pilihan raya umum yang dijadualkan September 2022, yang akan menjadikan dua pilihan raya dalam tempoh lebih setahun.
Sekiranya Lofven memilih untuk mengadakan pilihan raya, ia akan menjadi pilihan raya mengejut pertama di negara itu sejak 1958.
Menurut tinjauan pendapat diterbitkan Selasa, parti sayap kanan akan memenangi pilihan raya dengan majoriti tipis.
Jika Lofven memilih untuk meletak jawatan, ia bergantung kepada Speaker Parlimen Andreas Norlen untuk membuka rundingan bagi menentukan perdana menteri baharu.
Norlen kemudian harus berunding dengan setiap pihak sebelum mencadangkan Perdana Menteri baharu.
Speaker Parlimen kemudiannya perlu mendapat sokongan daripada 175 timbalan bagi pilihannya.
Jika gagal melakukannya, maka pilihan raya umum perlu diadakan. – AFP, 28 Jun, 2021.
Komen