Kempen Code Black dilancarkan solidariti terhadap doktor kontrak


MMA Schomos melancarkan kempen Code Black sebagai solidariti terhadap nasib doktor kontrak yang berkhidmat dalam sistem kesihatan negara. – Gambar Facebook, 28 Jun, 2021.

SEBUAH kumpulan perubatan melancarkan kempen Code Black sebagai tanda protes terhadap ketidakadilan kepada sistem doktor kontrak.

Bahagian Hal Ehwal Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam satu hantaran di Facebook berkata kempen Code Black akan berlangsung dari 1 Julai hingga “Black Monday” 12 Julai.

Kumpulan itu meminta penyokong menukar gambar profil peribadi, syarikat atau logo syarikat kepada warna hitam atau monokrom sepanjang 12 hari kempen, melawat Facebook MMA Schomos untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini serta berkongsi berita itu dengan orang lain.

Pada 12 Julai, doktor diminta bekerja seperti biasa dengan memakai pakaian hitam.

Mereka juga diminta memegang kad yang bertulis “Kami Bersama Pekerja Kesihatan Kontrak” dan memuat naik gambar di media social dengan tanda pagar #saveMYcontractHCW, #CodeBlackMY and #BlackMondayMY.

“Sistem doktor kontrak dan pekerja kesihatan kontrak perlu dirombak semula demi keselamatan ekosistem kesihatan negara Malaysia.

“Kami mendesak rakyat Malaysia untuk menyatukan suara dan menyokong kami. Sistem kesihatan negara memerlukan anda,” katanya di Facebook.

Kumpulan itu juga meminta tindakan segera daripada kerajaan untuk menyediakan pilihan latihan kepakaran kepada doktor kontrak.

Ia juga mendesak kerajaan mewujudkan dan menyebarkan kriteria yang telus dan terperinci untuk lantikan doktor kontrak kepada perkhidmatan tetap selain memberi layanan adil dan saksama atas semua staf kontrak dan tetap, serta memberi keyakinan kepada semua staf kontrak atas kestabilan kerjaya.

Schomos berkata warna hitam dipilih sebagai tanda berkabung atas bakat doktor muda yang hilang ke negara lain dan bagi mengakui ketidakadilan dialami semua pekerja kontrak kesihatan di Malaysia.

The Malaysian Insight difahamkan tidak ada protes jalanan diadakan dan kesejahteraan pesakit tidak akan terjejas, kerana doktor masih bekerja seperti biasa.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada 23 Jun berkata jawatan tetap dalam perkhidmatan itu ditawarkan berdasarkan kepada kekosongan dan doktor perlu memenuhi kriteria ditetapkan kerajaan. – 28 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen