SEORANG lelaki warga tempatan maut selepas dipercayai tertimbus akibat runtuhan tanah di puncak Gunung Nuang, Hulu Langat tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata dalam kejadian itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an mendaki gunung tersebut bersama rakan-rakannya.
“Kita menerima panggilan pada 1.30 tengah hari tadi dan pasukan penyelamat yang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah naik ke puncak pada 3.10 petang untuk mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hulu Langat Kapten Maharis Manan berkata terdapat runtuhan tanah pada jarak 100 meter ke puncak gunung tersebut dan mangsa dipercayai tertimbus akibat runtuhan itu.
Kerja-kerja menyelamat mangsa yang ditemukan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan di kepala masih dilakukan pasukan penyelamat di lokasi kejadian.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Alimaddia Bukri berkata mangsa dikenali sebagai Azlan Yahya, 47, yang bersama dengan pendaki lain dipercayai tergelincir dari tebing puncak gunung itu ke dalam gaung dengan kedalaman 100 meter sebelum tertimbus dengan runtuhan tanah.
Perjalanan pasukan menyelamat ke puncak Gunung Nuang memakan masa antara lima hingga enam jam dan mereka bertolak pada pukul 3.10 petang semalam serta tiba ke Kem Lolo pada pukul 6.40 petang dan meneruskan perjalanan ke puncak gunung itu, katanya dalam kenyataan malam tadi.
Pasukan penyelamat yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia menerima panggilan pada 1.30 tengah hari tadi dan telah naik ke puncak pada 3.10 petang untuk mengeluarkan mangsa.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dalam kenyataan awal berkata berdasarkan maklumat diterima daripada rakan mangsa mengatakan pendaki itu telah meninggal dunia. – Bernama, 14 Januari, 2018.
Komen