POLIS menahan 12 lelaki dan merampas 4.75 juta batang rokok putih atau seludup bernilai RM7.8 juta dalam siri serbuan di sekitar Bukit Mertajam, Sabtu lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) telah menjalankan Op Kontraban bermula pukul 5 pagi.
“Pasukan polis menjalankan pemantauan terlebih dahulu sebelum menyerbu sebuah rumah teres di Alma bermula pukul 10.30 pagi dan menahan enam lelaki sebelum menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Seri Juru serta menangkap lima lelaki.
“Dalam serbuan ketiga di Taman Cendana Juru, polis menahan seorang lagi lelaki di situ dan kesemua 12 lelaki yang ditahan tersebut berumur 18 hingga 38 tahun serta merupakan ahli sindiket pengedaran rokok putih atau seludup yang bergiat aktif sejak empat bulan lepas,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata hasil serbuan itu, polis merampas 680 kotak mengandungi 34,000 karton rokok putih bernilai RM7.8 juta tidak termasuk cukai dan dipercayai nilai cukai melibatkan jutaan ringgit.
Sahabudin berkata berdasarkan siasatan, sindiket itu mendapat bekalan daripada rangkaian mereka di negara jiran sebelum membawa masuk ke Malaysia untuk pasaran di sekitar Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Katanya, sindiket itu menyewa tiga rumah teres tersebut untuk dijadikan stor menyimpan kesemua rokok seludup berkenaan dan ahli sindiket tinggal di kediaman tersebut bagi menjaga serta menjalankan urus niaga rokok-rokok itu.
“Selain itu, kami percaya ahli sindiket terbabit tinggal di rumah sewa tersebut bagi mengaburi pihak berkuasa yang sindiket berkenaan menjalankan kegiatan pengedaran rokok seludup di situ, polis kini giat mengesan dalang utama rangkaian tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata dalam siri serbuan itu, polis turut merampas sembilan kereta bernilai RM236,000 daripada mereka.
Menurutnya, mereka yang ditahan itu tidak bekerja dengan lima suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan penyeludupan rokok dan kesemuanya kini direman selama 13 hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – Bernama, 28 Jun, 2021.
Komen