SERANGAN udara Amerika Syarikat di timur Syria berhampiran sempadan Iraq membunuh sekurang-kurangnya lima anggota militan, menurut laporan pemerhati.
“Sekurang-kurangnya lima anggota militan Iraq yang disokong Iran terbunuh dan beberapa orang lagi cedera dalam serangan udara oleh pesawat pejuang AS,” kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain.
Menurut pemerhati berkenaan kedudukan tentera antara sasaran dalam serangan itu.
Sementara itu menurut agensi berita Sana, seorang kanak-kanak terbunuh dan sekurang-kurangnya tiga orang lagi cedera.
Serangan yang disahkan oleh Pentagon dalam satu kenyataan itu merupakan serangan kedua yang dilancarkan AS sejak Presiden Joe Biden engambil alih pentadbiran.
Mereka menyasarkan tempat penyimpanan senjata dan operasi di dua lokasi di Syria dan satu di Iraq, kata Pentagon dalam kenyataan berkenaan.
Kemudahan itu digunakan oleh kumpulan militan termasuk Kataeb Hezbollah dan Kataeb Sayyid al-Shuhada, dua pecahan militan Iraq yang mempunyai hibungan dengan Tehran, tambah Pentagon.
“Kemudahan ini digunakan oleh kumpulan yang disokong Iran yang terbabit dalam serangan UAV terhadap anggota tentera AS dan kemudahannya di Iraq,” kata jurcakap Pentagon John Kirby.
Kepentingan AS di Iraq sering menjadi sasaran serangan sejak beberapa bulan lalu yang mana Amerika Syarikat menyalahkan kumpulan Iraq yang disokong Iran berhubung serangan roket. – AFP, 28 Jun, 2021.
Komen