PERDANA Menteri Luxembourg Xavier Bettel kini sedang menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari selepas disahkan positif Covid-19 tidak lama selepas tamat sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU), kata pejabatnya.
Tetapi tiada pemimpin daripada 26 negara EU yang hadir pada acara di Brussels pada Khamis dan Jumaat lalu, dianggap sebagai kes kontak, kata kenyataan itu.
Mengikut peraturan Luxembourg bagi membendung penularan virus itu, kontak rapat dengan pesakit Covid-19 dikenal pasti sebagai individu yang berada bersama pesakit lebih 15 minit dengan jarak kurang 2 meter tanpa memakai pelitup muka.
Jurucakap kepada Bettel berkata beliau mematuhi peraturan itu pada sidang kemuncak berkenaan.
“Tidak ada ketua kerajaan termasuk dalam senarai kontak rapat perdana menteri,” katanya.
Kenyataan dari pejabat Bettel berkata perdana menteri itu mengalami gejala ringan termasuk demam dan sakit kepala tetapi akan terus menjalankan tugasnya dari rumah.
Bettel, 48, sudah menerima dos pertama vaksin.
Negara itu yang mempunyai 600,000 penduduk merekodkan 70,600 kes dengan 818 kematian akibat Covid-19. – AFP, 28 Jun, 2021.
Komen