JURULATIH Portugal Fernando Santos berkata pemainnya menangis dalam bilik persalinan selepas tewas 0-1 kepada Belgium dalam aksi 16 terbaik saingan Euro 2020, di Seville awal pagi tadi.
Jaringan Thorgan Hazard memberi kemenangan Belgium yang sekali gus menyingkirkan penyandang juara yang dibarisi pemain terkemuka dunia, Cristiano Ronaldo.
Belgium selepas ini dijadual bertemu Itali dalam saingan suku akhir pada Jumaat.
“Saya fikir, ia keputusan yang tidak adil tetapi mereka menjaringkan gol dan kami tidak.
“Mereka meraih enam percubaan dan satu tepat di sasaran. Kami ada 29 dan tidak menjaringkan satu gol pun.
“Kami bangkit dan cuba mengatasinya. Pemain saya sudah mencuba yang terbaik tetapi bola tidak melepasi gawang, ini adalah bola sepak.
“Kami sangat kecewa, kami fikir kami mampu menang kejohanan ini semula selepas 2016. Sesetengah pemain saya menangis di bilik persalinan. Portugal harus berbangga dengan apa yang kami lakukan hari ini,” kata Santos.
Ronaldo yang jelas dikawal penuh barisan berpengalaman Belgium, melakukan percubaan menerusi sepakan percuma pada babak pertama namun berjaya ditepis Thibaut Courtois.
Kekalahan itu secara tidak langsung menyaksikan penyerang Juventus itu pulang dengan lima jaringan dalam kejohanan ini dan tanpa memecahkan rekod jaringan antarabangsa sepanjang zaman.
Ronaldo kekal menyamai 109 gol bersama legenda Iran, Ali Daei.
“Dia menjaringkan lima gol dalam kejohanan dan dia tidak menjaringkan gol hari ini tetapi dia memang seorang kapten sebenar,” kata Santos.
“Dia cuba untuk mengubah keadaan perlawanan. Tiada isu dengan Ronaldo.” – AFP, 28 Jun, 2021.
Komen