Angka maut pangsapuri runtuh di Florida kini 9


Ahli keluarga mangsa terus menunggu di lokasi kejadian pada hari ketiga insiden pangsapuri runtuh di Florida untuk mengetahui setiap perkembangan. – Gambar EPA, 28 Jun, 2021.

JUMLAH mangsa maut dalam insiden runtuhan sebahagian blok pangsapuri 12 tingkat di Florida, Khamis lalu terus meningkat kepada sembilan orang semalam, sementara 150 yang lain dilaporkan masih hilang.

Ahli keluarga mangsa terus menunggu di lokasi kejadian bagi hari ketiga untuk mengetahui perkembangan insiden berkenaan.

Walaupun harapan semakin tipis, namun pekerja operasi mencari dan menyelamat (SAR) berterusan mengasingkan sisa runtuhan tanpa henti dalam keadaan panas dan kelembapan tinggi.

Datuk Bandar Miami-Dade Daniella Levine Cava berkata empat mayat baharu dan mangsa lain ditemui selepas penyelamat menggali saluran dengan panjang 38m, kedalaman 12m dan lebar 6m di atas runtuhan terbabit.

Beliau berkata kerja pencarian di atas cerucuk pada waktu tertentu dilakukan enam hingga lapan skuad, dibantu dua kren besar dan anjing pengesan.

“Kami menemui empat mayat dalam runtuhan. Saya mengesahkan jumlah kematian hari ini ialah sembilan dengan seorang daripada mereka meninggal dunia di hospital.

“Kita sudah kenal pasti dan memaklumkan waris mangsa, selain berusaha sedaya-upaya untuk mengenal pasti mangsa lain yang ditemui,” katanya.

Gabenor Florida Ron DeSantis berkata sisa runtuhan dengan nilai forensic dibawa ke gudang untuk diperiksa ketika penyiasat berusaha mengenal pasti punca runtuhan itu.

Datuk Bandar Surfside Charles Burkett berkata penginapan diberikan kepada penghuni blok berhampiran runtuhan, walaupun tiada masalah struktur dikesan di sana. – AFP, 28 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen