PKP penuh buat tukang urut buta terus merana


Angie Tan

Aktiviti perniagaan di pusat mengurut perlahan sejak PKP pertama tahun lalu dan semua diarah tutup pada masa ini, kata Presiden Persatuan Tukang Urut Orang Buta Bertauliah Lee Sheng Chow. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun 2021.

TUKANG urut cacat penglihatan kini terpaksa bergantung kepada dapur jalanan dan bantuan daripada pelanggan tetap berikutan pusat urut masih ditutup sejak awal Mei akibat pandemik Covid-19.

Pusat urut berkenaan diarah menutup operasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang diumumkan pada 7 Mei lalu. Ia diteruskan dengan pengumuman PKP penuh pada 1 Jun.

Mereka kini tidak pasti bila akan dibenarkan beroperasi semula agar dapat menjana pendapatan seperti sedia kala.

Presiden Persatuan Tukang Urut Orang Buta Bertauliah Lee Sheng Chow memberitahu The Malaysian Insight aktiviti perniagaan di pusat mengurut itu agak perlahan sejak PKP pertama tahun lalu namun kini semuanya diarah tutup.

Beliau memohon agar kerajaan dapat menyalurkan bantuan berikutan punca pendapatan mereka terjejas teruk berikutan sekatan pergerakan.

Persatuan ini mempunyai kira-kira 100 pusat urutan, 20 daripadanya terletak di Brickfields dengan 150 tukang urut. Terdapat kira-kira 2,000 tukang urut cacat penglihatan di seluruh negara.

Pusat urutan tradisional Lee di Brickfields, Kuala Lumpur sudah beroperasi selama 38 tahun dan juga merupakan pusat urut orang buta pertama di Malaysia.

Beliau berkata, perniagaan itu pulih 50% sejak pelaksanaan PKP Pemulihan pada Jun tahun lalu, namun ia tidak bertahan lama berikutan penularan semula Covid-19 selepas dua bulan.

“Aktiviti perniagaan secara perlahan merosot kepada 20% akhir tahun lalu. Jumlah kes kemudian meningkat lagi semasa Tahun Baru Cina yang menjadikan perniagaan merudum 10%,” kata Lee.

Katanya, sewaktu pelaksanaan PKP penuh aktiviti perniagaan adalah sifar.

Tambah beliau lebih 20 pusat urut orang buta di Brickfields mula ditutup satu demi satu ketika pandemik tersebut. – 29 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen