Kerajaan sokong permainan siber demi anak muda, kata Najib


Mohd Farhan Darwis

Walaupun generasi lama tidak memahami permainan tersebut, ia tetap disokong kerana mampu menyumbang kepada ekonomi negara, kata Najib Razak ketika merasmikan Cyber Games Malaysia 2018 di PWTC hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Januari, 2018.

KERAJAAN Barisan Nasional (BN) akan terus menyokong usaha penganjuran pertandingan permainan siber memandangkan ia adalah minat generasi muda masa kini, kata Perdana Menteri Najib Razak.

Najib berkata, walaupun generasi sepertinya tidak memahami permainan tersebut, kerajaan tetap menyokong pertandingan seumpama itu kerana ia merupakan industri baharu yang berkemampuan menjadi penyumbang kepada ekonomi negara.

“Sebagai kerajaan kita akan terus menyokong usaha mengadakan ‘Cyber Games’ ini. Ia akan diangkat dalam Sukan Asia dan masa akan datang boleh jadi sukan di peringkat Olimpik. 

“Bila kita anggap ini industri baru, ia sediakan peluang bukan sahaja dari segi hiburan tapi ini industri baru untuk Malaysia,” katanya, ketika berucap merasmikan Cyber Games Malaysia 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Sehubungan itu, Najib berkata persediaan harus diberikan bagi membolehkan generasi muda menjadi pelaku aktif sukan tersebut.

“Kita kena sediakan orang kita supaya boleh menjadi pembekal dan pelaku aktif dalam Cyber Games.

“Saya sebagai perdana menteri selalu kata kita mesti mendengar atau merasai denyut nadi rakyat, untuk sebab itu sebagai kerajaan kita kena jadi kerajaan yang jaga dan faham bahasa anak muda,” katanya lagi.

Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Najib berkata barisan kepimpinannya tidak menolak permainan tersebut sebaliknya menyokong usaha itu.

“Hari ini orang muda minat dengan Cyber Games ini. Ini adalah satu jenis permainan yang generasi saya, kami tak faham sangat apa yang disukai anda sekalian.

“Tetapi ini menunjukkan kita bukanlah sebuah kerajaan kita tak faham kita tolak. Sebaliknya kita mahu ‘embrace digital economy’ dan inilah gaya hidup orang muda hari ini,” katanya.

Beliau turut mengiktiraf Malaysia Cyber Games sebagai persatuan yang mewakili E-Sports di Malaysia. – 14 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen