Jangan hanya salahkan kami kes Covid-19 meningkat, kata pengilang


Bernard Saw

ampir 70% kes berpunca daripada jangkitan sporadik berbanding kes direkodkan di kilang, kata Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia Soh Thian Lai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun 2021.

KERAJAAN sepatutnya fokus kepada usaha membendung penularan Covid-19 di kalangan masyarakat dan bukannya menyasarkan sektor perkilangan, kata kumpulan perniagaan.

Mereka berkata data berkaitan Covid-19 menunjukkan hampir 70% kes berpunca daripada jangkitan sporadik berbanding kes direkodkan di kilang yang jauh lebih rendah.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia Soh Thian Lai berkata arahan kerajaan tidak betul.

“Sekiranya awak pergi periksa kilang, kami hanya beroperasi di bawah kapasiti 20%. Hanya ada 1.5 juta pekerja, kurang daripada dua juta,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Menurut data Kementerian Kesihatan, 69% atau hampir 400.000 kes adalah kes sporadic manakala 95,000 kes adalah berpunca dari kilang.

“Jadi apakah arahan kerajaan adalah tepat? Anda akan menyebabkan keseluruhan proses pembuatan terganggu. Saya rasa mereka memberi fokus pada arah yang salah.”

Soh berkata tindakan penguatkuasaan terhadap kilang tidak akan menyelesaikan masalah peningkatan jangkitan kerana sumber penularannya adalah dari kalangan masyarakat.

Tambah beliau, rancangan menyelesaikan kes sporadic di kalangan masyarakat adalah untuk meningkatkan kecekapan rancangan vaksinasi, termasuk meningkatkan vaksinasi dari 250,000 kepada 300,000 atau 400,000 sehari.

Katanya, kebanyakan kilang mematuhi prosedur operasi standard yang diumumkan kerajaan.

Soh berkata jika seorang pekerja disahkan positif, pekerja yang selebihnya akan disaring. 

“Sebaliknya, sukar untuk melakukan saringan bagi kes sporadik dalam komuniti. Tambahan lagi, banyak kes sebelum ini yang sebenarnya dibawa masuk ke kilang daripada komuniti,” katanya.

“Sukar untuk lakukan ujian saringan bagi kes sporadik, tetapi kerajaan salahkan kilang.”

Beliau berkata Ops Patuh – penguatkuasaan terhadap perniagaan yang tidak mematuhi SOP untuk meratakan keluk jangkitan Covid-19 – tidak akan menangani sumber sebenar masalah itu.

Berkenaan usaha kerajaan membanteras syarikat yang memperoleh pengecualian menerusi cara menipu, Soh berkata hanya segelintir saja yang buat begitu, kerana kebanyakan pengilang mematuhi undang-undang.

Beliau berkata sesetengah industri utama terbabit dengan rantaian bekalan bagi industri berbeza pada masa sama, termasuk sesetengah produk yang dibekalkan kepada industri farmaseutikal dan automotif.

“Ini tidak adil. Kerajaan perlu memahami keseluruhan situasi bekalan,” kata Soh.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin pada Jumaat berkata satu jawatankuasa baharu diketuai olehnya akan bertanggungjawab bagi koordinasi Ops Patuh dan operasi di seluruh negara akan dilancarkan. – 28 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen