PKP separuh masak tidak akan selesaikan masalah


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) disambung lagi. Memang sudah dijangkakan. Ini kerana kes harian kita bagi setiap juta penduduk adalah antara tertinggi di dunia dan pada angka menakutkan. Perkara itu semua kita tahu dan sedar, dan kita tidak mempertikaikannya.

Yang kita persoalkan adalah, sampai bila kita harus berada dalam PKP dan ‘kuncitara’ separa masak seperti ini?  

Punca utama penularan kes bukan rakyat yang tidak patuh dan degil. Kluster harian dari masyarakat awam adalah minimum.

Namun, semua rakyat dikerah berkurung  dengan tegas dan diminta bersabar dan terus bersabar.

Data menunjukkan kilang-kilang dan sektor industri yang menjadi penyumbang utama peningkatan kes.

Tetapi, merekalah anak emas yang mendapat banyak sekali kelonggaran dan dibenarkan beroperasi seperti sedia kala.

Keadaan ini tidak ubah seperti meletakkan ubat pada tempat yang tidak pun sakit. Sedangkan bahagian yang luka tidak pula merawat.

Jawabnya sampai ke sudah situasi dalam negara tidak akan ‘sihat’ dan sembuh. Jika ini pendekatan yang dikekalkan, sampai tamat tempoh darurat nanti pun belum tentu keadaan akan bertambah baik.

Saya menggesa kerajaan untuk melaksanakan segera beberapa perkara kritikal yang mesti dilaksanakan segera. Bukan hanya mengkaji dan mengkaji.

Pertama, pertambahan bantuan tunai/sara hidup kepada mereka yang terkesan. Sangat ramai yang sedang tertekan dan berada dalam keadaan yang kritikal. Tolonglah beri perhatian kepada mereka ini dengan segera.

Kedua, uruskan negeri dan kawasan yang mempunyai kes yang begitu rendah dengan cara berbeza.

PKP seluruh negara hanyalah jalan keluar yang culas, pukul rata dan menghukum semua pihak secara tidak adil.

Ketiga, tolonglah semak dan pantau kilang-kilang serta sektor yang menjadi penyumbang besar kes harian.

Mereka ini yang perlu difokuskan dengan tegas. Bukannya dengan terus mengurung seluruh negara.

Memandangkan simpanan vaksin hampir habis dan bekalan baharu tidak diketahui bila akan tiba, saya sangat berharap ada pembaharuan dan penambahbaikan yang radikal semasa PKP yang disambung ini. 

Berhentilah melihat dan menguruskan pandemik ini dalam jangka 14 hari.

Berfikirlah lebih panjang dan kritikal. – 27 Jun, 2021.

* Mohamed Khaled Nordin, Naib Presiden Umno

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen