SPRM tahan seorang lagi pegawai kerajaan, siasatan rasuah kontrak projek RM2.6 juta


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ini menjadikan dua pegawai di kementerian sama ditahan setakat ini untuk siasatan, kata sumber SPRM. – Gambar SPRM, 26 Jun, 2021.

AGENSI anti rasuah menahan seorang pegawai bahagian perolehan di sebuah kementerian kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM150,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan projek melibatkan sebuah agensi penguatkuasa bernilai RM2.6 juta.

Ini menjadikan dua pegawai di kementerian sama ditahan setakat ini untuk siasatan, kata sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Lelaki berusia 39 tahun ini ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Suspek kini ditahan reman selama tiga hari hingga 28 Jun untuk siasatan lanjut,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut sumber, projek bernilai kira-kira RM2.6 juta tersebut adalah projek pembekalan kelengkapan menyelam bagi sebuah agensi penguatkuasa.

Awal minggu ini, SPRM menahan reman seorang penolong setiausaha bahagian di kementerian sama selama lima hari berakhir esok. Dia disiasat berhubung kes menerima rasuah dalam pelbagai bentuk yang dianggar berjumlah RM1 juta sebagai balasan membantu 11 syarikat mendapatkan kontrak.

Menurut sumber, sindiket ini dipercayai telah membolot 22 projek berjumlah RM135 juta di kementerian tersebut sejak 2017.

“Sindiket ini juga dipercayai mengupah pihak lain untuk mengendalikan projek-projek tersebut,” tambah sumber.

Pada 21 Jun lalu, empat pemilik syarikat kejuruteraan marin telah direman SPRM kerana disyaki memberi rasuah bagi tujuan mendapatkan projek pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan marin di agensi penguatkuasa sama yang dianggarkan berjumlah RM10 juta.

Susulan itu, seorang penolong setiausaha bahagian kementerian ditahan pada keesokan harinya, diikuti seorang pengurus syarikat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.  – 26 Jun, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen