PEGUAM Negara Idrus Harun tidak seharusnya lupa yang beliau dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tidak patut mengeluarkan kenyataan umum yang dilihat “memperkecilkan” kuasa Agong, kata Lim Guan Eng.
Setiausaha agung DAP berkata dengan membuat kenyataan Agong tidak mempunyai kuasa mengarahkan Parlimen bersidang kerana ia hak prerogatif Kabinet adalah kecuaian politik yang boleh mencetuskan krisis Perlembagaan.
“Dengan menekankan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa kecuali untuk mendengar nasihat Kabinet, Idrus berpihak kepada perdana menteri untuk mengenepikan titah Diraja Agong yang didukung oleh Majlis Raja-Raja, agar Parlimen bersidang secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim mempersoalkan mengapa peguam negara membuat nasihat itu terbuka.
“Sebelum ini, Idrus tidak mendedahkan kepada umum pandangannya bahawa Yang di-Pertuan Agong sepatutnya mendengar nasihat Kabinet ketika Tuanku menolak permohonan pertama Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin dan Kabinet tahun lalu untuk mengisytiharkan darurat.”
Lim berkata kenyataan umum Idrus ini secara jelas menunjukkan Agong terkhilaf menolak permintaan pertama Kabinet untuk melaksanakan darurat.
Lim berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebaliknya harus mematuhi Agong, Raja-Raja Melayu dan rakyat yang menuntut agar Parlimen diadakan secepat mungkin serta darurat tidak boleh dilanjutkan melebihi 1 Ogos.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata keputusan yang tepat perlu dilakukan kerajaan sekarang adalah mematuhi perintah tersebut dan segera memanggil Parlimen.
“Tindakan politik melulu seperti itu boleh mencetuskan krisis perlembagaan yang tidak dapat ditanggung oleh Malaysia kini ketika menghadapi pelbagai krisis.”
Beliau memberi respons terhadap kenyataan Idrus semalam yang berkata Agong tidak mempunyai kuasa kecuali untuk mendengar nasihat Kabinet.
Bekas menteri kewangan itu berkata kenyataan Idrus bukan hanya belum pernah terjadi tetapi tidak wajar dan sangat tidak bertanggung jawab, tetapi juga daripada “peguam negara bersifat politik” yang sanggup melakukan arahan perdana menteri untuk memenuhi kepentingan politik.
Lim berkata Idrus patut berhenti berpura-pura yang beliau menegakkan undang-undang ketika mendedahkan nasihatnya kepada umum kerana sudah menarik tumpuan orang ramai sebelum ini atas penyalahgunaan kuasa yang ditunjukkannya susulan pendakwaan terpilih terhadap ahli politik yang menyokong atau menentang perdana menteri.
“Tidak syak lagi bahawa kegagalan kerajaan PN telah menyebabkan Yang DiPertuan Agong mengambil langkah bersejarah untuk memanggil semua pemimpin parti politik, termasuk pemimpin pembangkang, untuk mendapatkan pandangan.
“Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja bertitah dengan tegas bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin untuk membincangkan pandemik global Covid-19 berikutan lonjakan tertinggi jangkitan dan angka kematian, kemelesetan ekonomi serta pelbagai Ordinan Darurat yang dikeluarkan di bawah kuasa darurat.” – 26 Jun, 2021.
Komen