Kesemua tiga vaksin boleh diambil wanita mengandung, kata Khairy


Elill Easwaran

Kesemua tiga jenis vaksin boleh diambil wanita mengandung, kata Khairy Jamaluddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2021.

WALAUPUN vaksin Pfizer diutamakan untuk wanita mengandung, mereka masih boleh memilih untuk menggunakan Sinovac dan Astrazeneca, kata Khairy Jamaluddin.

“Di kawasan terutamanya kawasan pedalaman di mana Pfizer tidak tersedia, kami akan memberikan mereka jenama lain,” katanya pada perasmian program vaksinisasi untuk wanita mengandung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Menurutnya, wanita mengandung boleh membuat temujanji suntikan vaksin sejak 7 Jun lalu dan setakat ini 109,607 pendaftaran sudah dibuat menerusi MySejahtera.

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini mencadangkan vaksin Pfizer-BioNTech untuk wanita mengandung antara 14 hingga 33 minggu tetapi mereka perlu mendapatkan perundingan kesihatan daripada doktor masing-masing sebelum boleh divaksin.

Tambahnya, keutamaan suntikan vaksin wanita mengandung adalah berdasarkan jangkaan masa bersalin.

“Daripada yang mendaftar 11,663 mereka dijangka bersalin pada Ogos tahun ini.

“Saya juga mahu tekankan yang wanita mengandung adalah kumpulan berisiko tinggi,” katanya.

Pada 24 Mei lalu, Khairy mengumumkan fungsi baharu dalam aplikasi MySejahtera dilancar yang membolehkan wanita mengandung dan ibu yang menyusukan anak mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, walaupun mereka dihendaki mendapatkan nasihat doktor sebelum divaksin, garis panduan juga dikeluarkan yang menetapkan vaksin hanya diberikan kepada wanita mengandung antara 14 hingga 33 minggu. – 26 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen