BEKAS anggota polis Derek Chauvin dihukum penjara selama 22 tahun setengah semalam selepas disabitkan bersalah membunuh seorang lelaki kulit hitam, George Floyd pada Mei 2020.
Chauvin, 45, mengucapkan takziah tanpa meminta maaf kepada keluarga Floyd, 46, di mahkamah Minneapolis sebelum Hakim Peter Cahill menjatuhkan hukuman penjara kurang daripada 30 tahun yang dimohon pihak pendakwa.
“Hukuman penjara ini berdasarkan tindakan anda menyalahgunakan kedudukan kepercayaan dan kuasa, serta kekejaman khusus ditunjukkan terhadap George Floyd,” kata Cahill.
Tertuduh berkulit putih itu dilihat tidak menunjukkan sebarang perasaan ketika mendengar keputusan hakim bagi kes berkenaan yang telah mencetuskan demonstrasi besar-besaran bagi menuntut keadilan kaum di Amerika Syarikat (AS).
Chauvin yang memakai sut berwarna kelabu muda hanya berkata ringkas, selepas enggan memberi keterangan ketika perbicaraan selama enam minggu itu.
“Saya mahu ucap takziah kepada keluarga Floyd. Buat masa ini, atas sebab terdapat beberapa perkara tambahan berkait undang-undang yang sedang dihadapi, saya tidak dapat memberikan kenyataan rasmi penuh.
“Beberapa maklumat lain yang menarik bakal muncul pada masa depan, dan saya berharap anda akan mengecapi ketenangan fikiran,” katanya.
Terdahulu, mahkamah menyaksikan rakaman mesej menyentuh hati oleh anak perempuan Floyd berusia tujuh tahun yang menzahirkan perasaan rindu dan sayang kepada bapanya.
Mahkamah turut mendengar luahan ibu tertuduh, Carolyn Pawlenty yang menyifatkan anaknya itu sebagai seorang yang baik dan percaya Chauvin tidak bersalah.
Sementara itu Presiden AS Joe Biden menyifatkan keputusan mahkamah berkenaan sebagai wajar.
“Saya tidak mengetahui kesemua perkara yang diambil kira dalam pertimbangan. Namun pada pandangan saya, mengikut garis panduan, ia dilihat sebagai wajar,” katanya.
Peguam keluarga Floyd pula menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai langkah bersejarah ke arah perdamaian kaum di AS. – AFP, 26 Jun, 2021.
Komen