Sempadan perlu terus dibuka, kata utusan khas PBB ke Syria


Bab al-Hawa adalah akses bantuan kemanusian ke wilayah dikuasai pemberontak Syria, Idlib, dijadualkan ditutup pada 10 Julai ini. – Gambar AFP, 26 Jun, 2021.

UTUSAN Khas PBB ke Syria Geir Pedersen pada Jumaat memberi sokongan kepada gesaan supaya pintu sempadan terus dibuka bagi bantuan kemanusiaan disalurkan ke wilayah pemberontak Idlib, langkah yang dibantah Moscow.

Selain menjadi satu-satunya pintu masuk bantuan kemanusiaan untuk hampir tiga juta orang penduduk di situ, isu itu turut dilihat sebagai ujian kepada hubungan Rusia-AS di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden.

Ia dijadualkan ditutup pada 10 Julai depan dan memerlukan undi PBB untuk terus dibuka.

Tetapi Rusia yang bersekutu dengan Presiden Syria Bashar al-Assad sudah menyatakan pendiriannya untuk menentang pembukaan itu, mendakwa ia mengancam kedaulatan Syria dan mungkin menggunakan kuasa vetonya di Majlis Keselamatan PBB.

“Orang awam di seluruh negara sangat terdesak untuk mendapatkan bantuan meneruskan kehidupan dan membantu kelangsungan hidup mereka. Sangat penting untuk mengekalkan dan meluaskan akses itu termasuklah operasi rentas sempadan,” kata Pedersen kepada Majlis Keselamatan.

“Peluasan pembukaaan rentas sempadan adalah perlu selama 12 bulan lagi untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.

Pintu sempadan itu dibuka sejak 2014.

Tetapi tahun lepas, Moscow berulang kali menggunakan kuasa vetonya untuk melaksanakan pengurangan drastik jumlah pintu sempadan yang dibuka daripada empat kepada hanya satu di Bab al-Hawa di sempadan Turki.

Ireland dan Norway, ahli bukan tetap Majlis Keselamatan membentangkan draf resolusi pada Jumaat supaya Bab al-Hawa terus dibuka setahun lagi dan pembukaan semula pintu sempadan di Al-Yarubiyah yang membolehkan bantuan disalurkan ke timur laut Syria dari Iraq.

AS, Perancis dan Britain yang merupakan ahli tetap majlis juga mahukan Bab al-Salam di sempadan Turki turut dibuka, ia antara yang ditutup tahun lepas, kata diplomat.

Biden membincangkan isu itu dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dalam perjumpaan mereka di Geneva, dan media AS mencadangkan yang persetujuan pintu sempadan itu terus dibuka boleh menjadi petunjuk hubungan Washington dan Moscow yang semakin dingin sejak Biden berkuasa.

Dalam kenyataan dikeluarkan pada Jumaat, Diana Semaan dari Amnesty International menegaskan yang menghalang bantuan rentas sempadan disalurkan boleh mewujudkan “kesan dahsyat kemanusiaan”.

“Kami mendesak Majlis Keselamatan untuk memperbaharui akses kemanusiaan melalui Bab al-Hawa dan membuka semula Bab al-Salam dan Al-Yarubiyah,” katanya. – AFP, 26 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen