Muhyiddin perlu dengar nasihat semua pihak, kata penganalisis


Noel Achariam

Semua isu akan dapat diselesaikan dengan mudah jika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turun ke bawah dan mula mendengar pandangan daripada semua orang, kata penganalisis. – Gambar fail AFP, 26 Jun, 2021.

MUHYIDDIN Yassin yang kini berdepan tekanan daripada pelbagai pihak, masih boleh dapat memenangi hati rakyat Malaysia jika beliau mula mendengar bukan saja daripada orang terdekat sekelilingnya tetapi juga suara lantang di luar termasuk pendapat diraja dan pembangkang, kata penganalisis.

Majlis Raja-Raja sudah menyatakan pendirian berkenaan isu pandemik dan ekonomi sementara pembangkang berusaha keras untuk menjatuhkannya.

Semua ini akan dapat diselesaikan dengan mudah jika Muhyiddin turun ke bawah dan mula mendengar pandangan daripada semua orang, kata penganalisis.

Isu paling utama yang perlu ditangani pada masa ini ialah mengadakan persidangan Parlimen seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong, kata mereka.

Pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata Muhyiddin kini nampak seperti cuba melengahkan Parlimen bersidang.

“Mesej daripada Raja-Raja sangat jelas yang Parlimen patut bersidang secepat mungkin,” kata Tunku Mohar kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata satu-satunya pilihan yang ada untuk ahli Parlimen Pagoh itu jika masih enggan mengadakan sidang Parlimen ialah membuktikan memang keadaan tidak selamat.

“Alasan itu juga tidak akan dapat menenangkan orang ramai kerana pada mereka, ahli Parlimen sudah menerima vaksin, apa yang hendak ditunggu lagi.”

Minggu lalu, Muhyiddin berkata satu jawatankuasa terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang ditubuhkan untuk mengkaji aspek penting sebelum Parlimen bersidang.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan mempertimbangkan sama ada persidangan akan diadakan secara fizikal atau hibrid.

Pada 16 Jun, Agong selepas mempengerusikan Majlis Raja-Raja bertitah Parlimen patut diadakan segera untuk membahaskan isu pandemik Covid-19.

Majlis Raja-Raja dalam satu kenyataan berasingan berkata darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Tunku Mohar berkata Muhyiddin sepatutnya mendengar nasihat bukan saja daripada dalam kalangan partinya, tetapi juga institusi diraja, pembangkang dan pakar kesihatan dan perundangan.

“Kelihatan biadab seperti tidak akan membantu menaikkan imejnya.

“Beliau sepatutnya lebih telus berkenaan apa yang kerajaan akan sedia lakukan untuk mengatasi krisis ini,” katanya.

Tunku Mohar berkata pelan pemulihan dibentangkan Muhyiddin juga tidak menjelaskan bagaimana kerajaan akan membawa negara ini daripada satu peringkat dalam pelan pemulihan itu ke peringkat berikutnya. – 26 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen