Pembocor maklumat bertanding kerusi Senat Amerika


Chelsea Manning yang dulu namanya Bradley Manning sebelum ini dihukum penjara kerana didakwa membocorkan fail sulit berkaitan perang di Iraq dan Afghanistan. – Gambar AFP, 14 Januari, 2018.

PEMBOCOR maklumat Chelsea Manning yang dihukum penjara kerana kebocoran fail sulit akan bertanding merebut kerusi Senat di Maryland, Amerika Syarikat (AS).

Dokumen Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan difailkan Khamis lalu menyenaraikan Chelsea Elizabeth Manning yang juga seorang transgender dari Bethesda Utara, Maryland sebagai calon Demokrat untuk Senat AS.

Manning, 30, seorang penganalisis perisikan tentera dijatuhi hukuman penjara 35 tahun pada 2013 kerana membocorkan lebih 700,000 dokumen sulit berkaitan perang di Iraq dan Afghanistan.

Pendedahan Manning yang sebelum ini dikenali dengan nama Bradley Manning adalah berkenaan salah laku dan jenayah mungkin tentera AS dan sekutunya.

Tindakan itu menjadikan Manning seorang wira anti perang dan aktivis anti kerahsiaan, namun pihak tertentu di AS menggelarnya pengkhianat.

Presiden Barack Obama ketika itu menukar hukuman Manning dan membawa kepada pembebasannya Mei tahun lalu.

Penyandang Senat Demokrat kawasan Maryland ialah Ben Cardin yang kali pertama dipilih pada 2006 dan kini Demokrat kanan dalam Jawatankuasa Hubungan Luar Senat.

Dalam pilihan raya tahun lalu, calon transgender Danika Roem dipilih ke Perwakilan Virginia, menjadi wakil rakyat pertama daripada golongan itu di AS. Presiden Donald Trump melabel Manning sebagai pembelot. – AFP, 14 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen