CHINA pada Jumaat mengutuk kerajaan Amerika Syarikat sebagai penyamun setelah Washington melarang import bahan panel solar dari sebuah syarikat China selain menyekat perdagangan kepada empat firma lain kerana didakwa menggunakan buruh paksa di Xinjiang.
Rumah Putih dalam satu kenyataan pada Khamis berkata penggunaan buruh paksa adalah sebahagian daripada usaha sistematik Beijing untuk menindas berjuta-juta etnik Uighur dan minoriti lain di negara komunis itu.
Washington berkata Hoshine Silicon Industry tidak boleh menjual produknya di Amerika Syarikat berdasarkan petunjuk munasabah mengenai buruh paksa dalam proses pembuatannya.
Jabatan Perdagangan juga mengumumkan Hoshine dan empat syarikat Xinjiang lain akan dikenakan sekatan ketat terhadap usaha mereka untuk mendapatkan komoditi, perisian dan teknologi AS.
“Amerika Syarikat percaya buruh paksa yang ditaja oleh negara di Xinjiang merupakan salah satu penghinaan terhadap maruah manusia dan juga contoh praktik ekonomi China yang tidak adil,” kata Rumah Putih.
China mengecam sekatan itu, menyebutnya sebagai “tindakan penyamun yang sama seperti merampas harta benda orang lain” yang akan menyebabkan “kemiskinan dan pengangguran paksa” di kalangan rakyat Xinjiang.
“AS menggunakan hak asasi manusia untuk berpura-pura… untuk secara tidak bertanggungjawab menindas pembangunan industri Xinjiang,” kata jurucakap kementerian luar negeri Zhao Lijian pada Jumaat.
Zhao berkata AS “mempolitikkan kerjasama ekonomi dan perdagangan yang normal” dan “sekali gus menindas syarikat China… untuk menyekat pembangunan China”.
Wilayah Xinjiang membekalkan hampir separuh polisilikon dunia untuk digunakan dalam panel solar.
Empat syarikat lain adalah dua pengeluar bahan polisilikon - Daqo New Energy dan Xinjiang GCL New Energy Material Technology. Selain itu pemproses aluminium Xinjiang East Hope Nonferrous Metals dan Xinjiang Production and Construction Corps milik negara, yang telah dikenakan sekatan kerana menggunakan buruh paksa.
Seorang pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan AS, yang mengisukan import Hoshine, menganggarkan Amerika Syarikat mengimport barang dari syarikat itu bernilai AS$150 juta sejak 30 bulan terakhir ini.
Ditanya apakah tindakan perdagangan AS bertentangan dengan mempromosikan tenaga suria, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS Alejandro Mayorkas berkata menamatkan buruh paksa adalah keperluan utama.
“Matlamat persekitaran kita tidak akan tercapai jika adanya persekitaran buruh paksa,” kata Mayorkas kepada wartawan.
Larangan import Hoshine disusuli tindakan serupa terhadap pengeluar dan pengguna produk kapas dan tomato dari rantau ini serta produk rambut.
Baru-baru ini AS melarang import dari sebuah syarikat perikanan China terkemuka, Dalian Ocean, kerana didakwa menggunakan buruh paksa. – AFP, 25 Jun, 2021.
Komen