Tiga langkah bantu pengusaha kantin sekolah


SEKOLAH ada kemungkinan akan ditutup sehingga September 2021. Kira-kira 10,000 pengusaha kantin sekolah di seluruh negara terjejas pendapatan mereka. 

Ini tiga cadangan saya kepada kerajaan tercinta, dalam usaha membantu para penguasaha kantin terus menjana pendapatan di waktu serba mencabar ini:

1. Pakej pinjaman mikro khas untuk pengusaha kantin

Pinjaman Mikro ini bertujuan untuk pengusaha kantin mengubah jenis perniagaan mereka, digunakan untuk modal mula bagi pembukaan warung, gerak ataupun jualan dalam talian. Cukup RM5,000 - RM10,000 untuk setiap pengusaha. Pinjaman mikro khas sebegini penting kerana mereka sukar memohon pinjaman mikro sedia ada yang mempunyai pelbagai karenah birokrasi. Contohnya pemohon kena ada penyata bank yang kuat. Sedangkan kita pun tahu, sekolah dah tutup berapa lama, bisnes tak ada, nak ada transaksi apanya.

2. Kebenaran menggunakan premis kantin sebagai pusat operasi perniagaan

Kerajaan boleh mengeluarkan pekeliling memberi kebenaran kepada pengusaha kantin menggunakan premis kantin sebagai tempat penyediaan makanan. Jika kebenaran ini diberikan, maka pengusaha kantin boleh usahakan jualan makanan yang telah disediakan melalui dalam talian atau menggunakan perkhidmatan food delivery. Tidak perlulah pengusaha ini bersusah payah cari tempat operasi lain yang mana pasti ada kos yang perlu dikeluarkan.

3. Gunakan sekolah sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV)

Wajib ambil pengusaha kantin untuk bekalkan makanan kepada petugas. Ini secara tak langsung memberi nafas kepada pengusaha kantin tempat PPV itu. Andai kata satu hari, dapat menyediakan makanan untuk 50 petugas, itu pun sudah mencukupi bagi mereka.

Ada dua daripada cadangan ini, tidak mengharapkan wang daripada kerajaan pun. Para pengusaha sedang menderita, mereka mahukan kerajaan buat tindakan, bukan pertimbangan. – 25 Jun, 2021.

* Mutalib Uthman, Naib Presiden Muda.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen