POLIS menahan 12 individu manakala sembilan lagi dikompaun keseluruhan berjumlah RM45,000 dalam serbuan di sebuah pusat hiburan yang beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata dua lelaki pekerja pusat hiburan warga Bangladesh serta sembilan pelayan wanita (GRO) warga Vietnam dan Laos yang didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah ditahan dalam serbuan pada 10.20 malam itu.
Beliau berkata sembilan lelaki warga tempatan termasuk pemilik premis dikenakan kompaun manakala seorang lagi lelaki ditahan atas kesalahan menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.
“Siasatan awal mendapati premis hiburan itu tidak mempunyai lesen sah untuk beroperasi dan menggaji wanita asing sebagai GRO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Idzam berkata saringan ujian air kencing juga mendapati 12 individu yang diperiksa positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, benzo dan ketamin dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama, 25 Jun, 2021.
Komen