Sidang hibrid Parlimen menjelang akhir Ogos, kata speaker


Parlimen dijangka dapat bersidang semula secara hibrid pada akhir Ogos atau awal September, kata speaker Dewan rakyat dan presiden Dewan Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun, 2021.

PARLIMEN dijangka dapat bersidang semula secara hibrid pada akhir Ogos atau awal September, kata speaker Dewan Rakyat dan presiden Dewan Negara.

Jangkaan itu berdasarkan kajian ke atas aspek teknologi dan kaedah pelaksanaan persidangan, kata Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Kenyataan bersama Rais dan Azizan menyebut mereka memerlukan masa untuk membuat persediaan termasuk aspek perundangan dan pentadbiran dan teknikal.

Anggota Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid itu juga menyebut, aspek perolehan dan latihan juga perlu diperkemas untuk memastikannya berjalan lancar.

“Hal persiapan ini dimaklumkan kepada perdana menteri selaku ketua majlis semalam dan mendapat kerjasama serta galakan yang amat baik.”

Dengan itu, mereka menjangka ia dapat diselesaikan pada Julai bagi membolehkan satu sidang khas diadakan terlebih dahulu pada awal Ogos untuk menyelesaikan aspek berkenaan.

Kenyataan itu menyebut, sidang itu bagi memperincikan aspek teknikal bagi membolehkan ahli Parlimen dapat mengambil bahagian dalam persidangan Parlimen secara hibrid.

Seterusnya apabila cadangan itu diterima Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Parlimen masih memerlukan masa untuk melaksanakannya, kata Rais dan Azhar.

Ia antara lain bagi memperolehi bekalan, menggabung sistem sidang hibrid dan sedia ada, ujian, pentauliahan dan latihan kepada petugas dan ahli Parlimen.

“Mengambil kira perkara ini dan tertakluk kepada keperluan di atas, dijangka persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September.”

Mereka menjelaskan, persidangan hibrid itu melibatkan kehadiran fizikal sekurang-kurangnya 26 ahli Dewan Rakyat dan 10 senator Dewan Negara untuk memenuhi korum.

Ahli lain pula akan dibenar memilih untuk hadir sendiri atau dalam talian, tertakluk kepada syarat ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tindakan itu dijalankan dengan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun agar Parlimen bersidang secepat mungkin. – 25 Jun, 2021.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen