PESAWAT tentera udara Israel melancarkan serangan di selatan Semenanjung Gaza semalam serta bertindak menutup laluan perdagangan antara wilayah terkepung Palestin itu dan negaranya.
Tentera Zionis dalam satu kenyataan berkata mereka menyasar infrastruktur menggunakan jet pejuang di selatan wilayah Rafah, bersebelahan sempadan Mesir-Semenanjung Gaza.
“Hamas bertanggungjawab ke atas semua aktiviti yang berlaku di dalam dan dari Semenanjung Gaza,” kata kenyataan itu.
Sumber keselamatan Palestin di Gaza berkata tiada yang cedera dalam serangan Israel itu.
Terdahulu semalam, Kementerian Pertahanan Israel berkata laluan perdagangan Kerem Shalom antara Gaza dan Israel berhampiran Rafah ditutup bermula hari ini sehingga “dimaklumkan nanti”.
Jurucakap kementerian berkata tindakan jarang dilakukan itu susulan ‘penilaian keselamatan’.
Keganasan rentas sempadan antara Israel dan Gaza meningkat sejak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bertindak mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel 6 Disember lalu. – AFP, 14 Januari, 2018.
Komen