PENDUDUK di empat kawasan di tengah Sydney diarahkan tidak keluar rumah bagi tempoh seminggu bermula hari ini bagi membendung penularan varian Delta Covid-19, yang dikatakan terlalu pantas merebak.
Berpuluh-puluh kes dilaporkan minggu ini, dikaitkan dengan seorang pemandu limosin yang dijangkiti ketika menghantar beberapa anak kapal penerbangan antarabangsa dari lapangan terbang Sydney ke hotel kuarantin.
Keputusan mengeluarkan perintah berkurung tengah malam tadi dikuatkuasakan susulan kluster itu kini mencatatkan 65 kes.
Pekerja di kawasan perniagaan ibu kota itu termasuk dalam arahan sekatan itu susulan kebimbangan ia menular dengan pantas dalam kalangan pengguna pengangkutan awam.
“Kami sudah melakukan pengesanan kontak dan mencari mereka yang ada kaitan dengan kes positif,” kata Gladys Berejiklian.
Mereka yang termasuk dalam kawasan larangan keluar akan hanya dibenarkan melakukan perjalanan bagi urusan penting, termasuk membeli makanna atau jika mereka tidak dapat bekerja dari rumah.
Terdahulu, penduduk Sydney tidak dibenarkan melakukan perjalanan rentas daerah hingga Jumaat depan susulan berlaku penularan virus berkenaan di Bourke, kira-kira sembilan jam perjalanan dengan memandu ke barat daya Sydney.
Australia antara negara paling berjaya di dunia dalam membendung Covid-19 dengan hanya 30,000 kes dilaporkan dan 910 kematian. – AFP, 25 Jun, 2021.
Komen