PIHAK berkuasa Hawaii semalam mengesahkan satu amaran menerusi telefon bimbit mengenai serangan peluru berpandu balistik adalah palsu.
Bagaimanapun, mesej itu menyebabkan penduduk risau dan mencetuskan kekeliruan di seluruh Honolulu, sebuah negeri Amerika Syarikat (AS).
Amaran kecemasan yang menggesa penduduk Hawaii segera berlindung itu muncul beberapa bulan selepas ketegangan meningkat antara Washington dan Pyongyang.
Korea Utara baru-baru ini berkata ia berjaya menguji peluru berpandu balistik yang boleh membawa kepala peledak nuklear ke AS, termasuk rangkaian kepulauan gunung berapi itu.
“Tiada ancaman peluru berpandu di Hawaii,” kata Agensi Pengurusan Kecemasan (EMA) Hawaii di Twitter, ketika media sosial kecoh dengan gambar skrin mengenai amaran kecemasan itu di telefon bimbit.
Jurucakap tentera AS David Benham berkata Pusat Arahan Pasifik “tidak mengesan sebarang ancaman peluru berpandu balistik ke Hawaii dan mesej terdahulu dihantar secara salah”.
Amaran itu, muncul dalam Sistem Amaran Kecemasan digunakan pihak berkuasa seluruh negara untuk menghantar maklumat kecemasan penting ditulis: “Ancaman peluru berpandu balistik menuju ke arah Hawaii. segera berlindung. Ini bukan satu latihan.”
Mesej yang betul menyatakan; “tiada ancaman peluru berpandu atau bahaya kepada Hawaii”, tidak dihantar ke telefon bimbit sehingga 40 minit kemudian.
Gabenor David Ige akan bertemu pegawai kanan Jabatan Pertahanan dan EMA negeri untuk membincangkan mengapa mesej salah, yang turut disiarkan di sesetengah televisyen tempatan, dihantar. – AFP, 14 Januari, 2018.
Komen