Seorang maut, 99 hilang pangsapuri runtuh di Florida


Pasukan Miami-Dade Rescue sedang mencari mangsa runtuhan bangunan di Surfside, Florida. AS. – Gambar EPA, 25 Jun, 2021.

SEBAHAGIAN blok pangsapuri di Surfside, Florida runtuh pada awal pagi Khamis, membunuh sekurang-kurangnya seorang dan 99 yang lain masih hilang. 

Pengarah Jabatan Polis Miami-Dade, Freddy Ramirez pada sidang akhbar berkata mereka masih tiada maklumat mengenai 99 orang yang mungkin berada di dalam blok pangsapuri pada masa ia runtuh.

“Ia mungkin atas sebab yang berbeza. Kami masih diperingkat awal,” katanya.

Sekurang-kurangnya 18 warga Amerika Latin dikenal pasti antara mereka yang hilang, menurut konsulat negara itu. 

Mereka adalah tiga dari Uruguay, sembilan rakyat Argentina dan enam warga Paraguay, di antaranya adalah adik kepada isteri presiden.

Kira-kira 55 pangsapuri terjejas akibat runtuhan itu, menurut Penolong Ketua Penyelamat Bomba Miami-Dade, Ray Jadallah yang memberitahu pada sidang akhbar bahawa perkhidmatan kecemasan tiba di tempat kejadian sekitar jam 1.30 pagi, memindahkan 35 orang dari bangunan itu.

Pangsapuri ini mempunyai penghuni bercampur yang terdiri daripada penghuni tetap dan bermusim serta penyewa.

Pihak berkuasa menegaskan tidak jelas berapa banyak orang yang sebenarnya berada di dalam waktu itu.

“Sukar untuk memastikannya,” kata Pesuruhjaya Miami-Dade County Sally Heyman kepada CNN. 

“Harapannya masih ada, tapi semakin tipis.” – AFP, 25 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen