Kes aktif Covid-19 meningkat, jumlah maut atasi China


Ravin Palanisamy

Jumlah kes aktif dilaporkan hari ini paling tinggi sejak 18 hari lalu, dengan kes baharu lebih tinggi berbanding kes yang telah pulih, kata Kementerian kesihatan Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 24 Jun, 2021.

JUMLAH kes aktif Covid-19 naik buat kali pertama sejak 18 hari lalu selepas hari ini negara melaporkan banyak jangkitan baharu berbanding kes yang telah pulih, kata Ketua Pengarah Kesihatan.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat tengah hari ini, Malaysia melaporkan 5,841 jangkitan baharu berbanding 5,411 yang telah sembuh, menjadikan jumlah kes aktif 61,162.

Kali terakhir Malaysia melaporkan kes harian tinggi berbanding kes yang telah pulih adalah pada 6 Jun dengan 6,241 jangkitan baharu berbanding 5,133 kes yang telah pulih. Keseluruhan kes aktif ketika itu berjumlah 86,628.

Setakat semalam, kes aktif menurun sebanyak 25,812. Namun dengan jumlah kes hari ini, ia naik 346 kes.

Menerusi perkongsian di Twitter hari ini, Noor Hisham berkata, terdapat 84 kematian baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan maut akibat Covid-19 seramai 4,721 orang.

Angka kematian juga dilaporkan meningkat sejak empat hari lalu.

Jumlah kematian Malaysia dilaporkan hari ini telah mengatasi jumlah maut di China yang sebanyak 4,636.

Dari segi positif, jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) menurun kepada 869 orang hari ini, penurunan sebanyak 10 kes setakat semalam.

Bagaimanapun, jumlah pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat sebanyak lima orang, menjadi 438 hari ini berbanding semalam iaitu seramai 433.

Mengulas lanjut mengenai angka kematian tersebut, Noor Hisham berkata 32 kematian dilaporkan di Selangor, masing-masing 10 di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, Kelantan (8), Johor (7), Kedah (6), Labuan (3), Melaka, Perak dan Pahang (masing-masing 2), manakala Sabah dan Terengganu (masing-masing 1).

Dari jumlah kematian dilaporkan hari ini, 11 maut sebelum tiba di hospital.

Dua mangsa wanita berusia 90 tahun dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19, menjadikan mereka mangsa paling tua hari ini.

Seorang meninggal di Kelantan, manakala seorang lagi di Melaka.

Mangsa paling muda hari ini berusia 8 tahun, budak lelaki dari Perak yang menghidap penyakit asma. – 24 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen