MENTERI luar Ukraine mengecam cadangan Jerman dan Perancis agar Kesatuan Eropah (EU) mempertimbangkan untuk memulakan semula pertemuan puncak dengan Rusia, menjelang perbahasan isu itu oleh para pemimpin blok tersebut.
“Langkah untuk menghidupkan semula sidang kemuncak EU dengan Rusia, tanpa melihat kemajuan pihak Rusia akan menyimpang dari dasar sekatan EU,” kata Dmytro Kuleba setelah bertemu ketua dasar luar EU di Brussels.
“Keputusan untuk membekukan sidang kemuncak antara EU dan Rusia diambil pada 2014 dengan latar belakang pencerobohan Rusia terhadap Ukraine. Sayangnya, Rusia tidak menunjukkan keinginan untuk mengubah dasarnya, baik terhadap Ukraine, mahupun terhadap EU. Oleh itu kami percaya tidak berasas untuk memulakan kembali sidang puncak (EU-Rusia).”
Berlin dan Paris pada Rabu mengemukakan cadangan di saat terakhir menjelang pertemuan para pemimpin EU di Brussels untuk blok itu untuk memikir semula kemungkinan pertemuan puncak dengan Presiden Rusia Vladimir Putin selepas Presiden Amerika Syarikat Joe Biden bertemunya di Geneva minggu lalu.
Bagaimanapun masih ada tentangan dari banyak negara anggota EU - terutama di Eropah timur - yang diketepikan, dan kekal berwaspada untuk bercakap dengan Kremlin.
Duta-duta EU gagal memberi sebarang pendirian bersama mengenai cadangan itu pada Rabu, malah membiarkan para pemimpin memberi butiran lanjut.
Blok 27 negara itu berusaha untuk merombak strategi untuk memastikan negara jirannya yang berada di sebelah timur terus berjaga-jaga kerana Brussels mengakui hubungan dengan Kremlin kelihatan makin merosot walaupun sudah mencapai tahap terendah.
Rancangan Jerman dan Perancis menegaskan EU harus berdiri teguh dan bersatu mengenai Moscow, tetapi harus berusaha melibatkan diri dengan Kremlin dalam isu-isu kepentingan bersama seperti perubahan iklim, kesihatan, perjanjian nuklear Iran dan konflik di Syria dan Libya.
Cadangan yang dikemukakan oleh Berlin dan Paris untuk sidang kemuncak EU itu mengatakan blok akan mengkaji format dialog yang ada dengan Rusia, termasuk di peringkat pemimpin.
Tetapi mereka juga berkata para pemimpin akan meminta Suruhanjaya Eropah memberikan pilihan langkah-langkah tambahan termasuk sekatan ekonomi untuk menolak sebarang kegiatan jahat dan haram oleh Rusia. – AFP, 24 Jun, 2021.
Komen