Aktivis maut selepas ditangkap pihak berkuasa Palestin, kata gabenor


Nizar Banat, pengkritik pihak berkuasa Palestin ditangkap dalam serbuan subuh pada Jumaat oleh pasukan keselamatan Palestin, kata gabenor Hebron, Jibrin al-Bakri. – Gambar Facebook, 24 Jun, 2021.

SEORANG aktivis hak Palestin maut pada Jumaat sejurus ditangkap oleh pasukan keselamatan Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat, kata gabenor tempatan.

Keluarganya melaporkan dia dipukul sampai mati.

Nizar Banat, dari Hebron di selatan Tepi Barat, seorang pengkritik PA, ditangkap dalam serbuan subuh pada Jumaat oleh pasukan keselamatan Palestin, kata gabenor Hebron, Jibrin al-Bakri.

“Pendakwa Raya mengarahkan penangkapan Nizar Khalil Muhammad Banat. Pasukan keselamatan menangkapnya pada waktu subuh,” kata Bakri, menurut satu kenyataan dikeluarkan agensi berita rasmi WAFA.

Tidak ada sebarang alasan diberikan atas penangkapannya.

Keluarga Banat mendakwa pasukan keselamatan memukulnya di kepala dengan tongkat kayu dan besi selain sengaja membunuhnya, kata mereka kepada Quds, sebuah laman berita Palestin.

“Semasa penangkapan, kesihatannya merosot,” kata Bakri, tanpa memberikan keterangan lebih lanjut.

“Dia segera dipindahkan ke hospital kerajaan Hebron… Dia meninggal selepas diperiksa oleh doktor.”

Banat terkenal dengan videonya yang disiarkan di Facebook, di mana dia mengecam rasuah PA yang dilaporkan.

Dia adalah calon dalam pemilihan legislatif Palestin yang akan diadakan pada Mei, tetapi ditunda oleh presiden Mahmoud Abbas.

Siasatan telah dilancarkan mengenai kematian Banat, tambah kenyataan itu.

Disoal AFP, pasukan keselamatan Palestin enggan memberikan komen.

Pada Mei, Kesatuan Eropah (EU) menyuarakan kebimbangan setelah pasukan keselamatan Palestin menyerbu rumah Banat.

“Kekerasan terhadap ahli politik dan pembela hak asasi manusia tidak dapat diterima,” kata wakil EU untuk rakyat Palestin dalam satu kenyataan pada Mei, meminta PA menghormati kebebasan bersuara dan perlindungan terhadap aktivis hak asasi manusia.

EU mengeluarkan keluhan sama pada November 2020, selepas Banat menghabiskan empat hari dalam tahanan di Jericho, berikutan video mengkritik PA.

Pada Selasa, Issa Amro, seorang lagi aktivis hak asasi manusia Palestin yang berpusat di Hebron, ditahan sementara selepas hantaran Facebooknya mengkritik penahanan politik, katanya di Twitter. – AFP, 24 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen