Presiden China hubungi angkasawan jalani misi Tianhe


Presiden China, Xi Jinping membuat panggilan telefon dengan tiga angkasawan China yang menjalankan misi di modul teras Tianhe pada Rabu. – Gambar EPA, 24 Jun, 2021.

PRESIDEN China, Xi Jinping membuat panggilan telefon dengan tiga angkasawan China yang menjalankan misi di modul teras Tianhe pada Rabu.

Dalam proses itu, sistem ukuran dan kawalan berpangkalan udara yang terdiri daripada beberapa satelit pengesanan dan penghantaran data (TDRSS) telah berfungsi memastikan panggilan telefon yang dibuat di Bumi ke angkasa lepas itu jelas dan lancar.

Menurut Pusat Penghantaran Maklumat Angkasa Beijing, sistem tersebut telah memberikan sokongan pengukuran, kawalan serta penghantaran data yang stabil kepada modul teras Tianhe, kapal Tianzhou-2 dan Shenzhou-12 melalui satelit Tianlian 1-03, Tianlian 1-04 dan Tianlian 2-01.

Menurut ketua jurutera pusat, Zheng Yonghui, panggilan telefon yang lebih panjang juga dapat dibuat dengan sokongan tiga satelit Tianlian tersebut, khususnya Tianlian 2-01 yang kali pertama digunakan dalam misi angkasa lepas pembawa angkasawan.

Kelajuan dan kecekapan penghantaran audio dan video antara Bumi dengan angkasa banyak ditingkatkan, mutu panggilan dan masa panggilan juga telah dibaiki.

Panggilan audio dan video antara Bumi dengan angkasa memerlukan penerimaan dan penghantaran data dalam jumlah besar.

Wang Xue ialah seorang daripada jurutera yang bertugas dalam misi menganalisis dan menghantar data terlibat di pusat Beijing tersebut.

Kru beliau telah menyelidik dan membina perisian untuk meningkatkan kestabilan dan kebolehpercayaan pelaksanaan misi ini. – Bernama, 24 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen