RATUSAN kubur yang tanpa batu nisan telah ditemui berhampiran sebuah bekas sekolah orang asli Katolik di barat Kanada, lapor media tempatan pada Rabu.
Penggalian di lokasi di sekitar bekas sekolah di Marieval, Saskatchewan bermula pada penghujung Mei.
Ia diikuti pula dengan penemuan 215 mayat pelajar sekolah ditemui di sekolah orang asli lain di Kamloops, British Columbia, yang menggegarkan Kanada.
Penemuan tersebut menghidupkan kembali gesaaan kepada Paus dan gereja Katolik untuk meminta maaf atas penderaan dan keganasan yang dialami oleh para pelajar di sekolah berasrama tersebut, di mana mereka secara paksa dijauhkan daripada budaya asal mereka.
Dalam satu kenyataan yang dipetik beberapa media Kanada, termasuk CBC dan CTV, komuniti orang asli Cowessess berkata mereka telah membuat “penemuan mengerikan dan mengejutkan ratusan kubur tanpa tanda” semasa penggalian di bekas sekolah berasrama penuh Marieval.
“Jumlah kubur yang tidak bertanda ini akan menjadi penemuan paling besar setakat ini di Kanada,” kata Persekutuan Negara-negara Adat Berdaulat (FSIN) dalam satu kenyataan.
Perry Bellegarde, ketua kebangsaan Majlis Negara-Negara Pertama, berkata berita itu “benar-benar tragik, tetapi tidak menghairankan. Saya gesa semua warga Kanada berdiri bersama Bangsa Pertama dalam masa yang sangat sukar dan penuh emosi ini.”
Setelah penemuan di Kamloops, penggalian dilakukan dekat beberapa bekas sekolah orang asli lain di seluruh Kanada, dengan bantuan pihak berkuasa kerajaan.
Sekolah di Marieval di timur Saskatchewan menjadi tempat tinggal buat anak-anak orang asli antara 1899 dan 1997 sebelum dirobohkan dan diganti dengan sekolah biasa.
Lebih kurang 150,000 anak-anak orang asli Amerika, Metis dan Inuit direkrut secara paksa hingga tahun 1990-an di 139 sekolah di seluruh Kanada, di mana mereka diasingkan dari keluarga, bahasa dan budaya mereka.
Banyak yang mendapat layanan buruk selain penderaan seksual, malah lebih 4,000 maut di sekolah-sekolah itu, menurut sebuah suruhanjaya siasatan yang menyimpulkan Kanada telah membuat “pembunuhan budaya” terhadap orang asli. – AFP, 24 Jun, 2021.
Komen