BRITNEY Spears menggesa hakim dalam perbicaraan penuh emosi pada Rabu untuk mengakhiri hak penjagaan “dera” daripada ayahnya yang menjaga urusannya pada 2008.
“Saya hanya mahu hidup saya kembali. Sudah 13 tahun. Sudah cukup,” kata Spears dalam ucapan 20 minit melalui pautan video ketika peminatnya memberi sokongan di luar mahkamah.
Kewangan dan kehidupan peribadi bintang 39 tahun itu banyak diuruskan oleh ayahnya Jamie Spears sejak populariti Spears pudar sedekad lalu, menyebabkan beberapa peminat melancarkan kempen dalam talian “FreeBritney” sejak beberapa tahun terakhir ini.
Dalam ucapan di mana Spears kerap berhenti untuk tarik nafas, bintang itu berkata, di bawah aturan undang-undang, beliau telah dilarang mengeluarkan implan kontraseptif, walaupun menginginkan lebih ramai anak.
Ibu dua anak itu berkata ini telah membuatnya hidup dalam trauma dan tertekan.
“Saya tak gembira. Saya tak dapat tidur. Saya sangat marah. Ini gila,” katanya menambah beliau menangis setiap hari.
“Saya benar-benar percaya penjagaan ini sangat mendera. Saya mahukan perubahan, saya layak terima perubahan,” kata Spears kepada Hakim Brenda Penny.
Penyanyi ini jarang bercakap secara langsung mengenai hak penjagaan itu tetapi peguamnya, Samuel Ingham berkata pada April Spears ingin naikkan perkara ini di mahkamah.
Hubungan Spears dan ayahnya sudah lama retak.
Tahun lalu, beliau memohon mengeluarkannya dari hak penjagaan dan memberikan hak tunggal atas harta tanahnya kepada institusi kewangan. Peguamnya yang dilantik mahkamah berkata beliau takut dengan ayahnya. – AFP, 24 Jun, 2021.
Komen