Penunjuk perasaan Thailand tak takut Covid-19, tetap turun protes


Tunjuk perasaan itu dibuat pada ulang tahun ke-89 Revolusi Siam - pemberontakan yang mengubah Thailand dari monarki mutlak menjadi monarki berperlembagaan. – Gambar AFP, 24 Jun, 2021.

RATUSAN penunjuk perasaan pro-demokrasi turun ke jalan raya di Bangkok pada Khamis mendesak kerajaan berundur ketika peningkatan kes Covid-19 makin menjadi-jadi.

Tunjuk perasaan itu dibuat pada ulang tahun ke-89 Revolusi Siam - pemberontakan yang mengubah Thailand dari monarki mutlak menjadi monarki berperlembagaan.

Bangkok digegarkan oleh protes hampir setiap hari terhadap pemerintahan Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha pada separuh kedua 2020, tetapi gerakan pro-demokrasi sudah tidak membuat tunjuk perasaan sejak pandemik melanda, selain penangkapan ramai aktivis pelajar.

Pihak berkuasa telah menggagalkan sebarang perhimpunan besar-besaran ketika negara itu berhadapan gelombang ketiga jangkitan, yang mencapai 3,000 kes setiap hari.

Walaupun polis memberi amaran, pada Khamis, ratusan rakyat turun berhimpun di Monumen Demokrasi sebelum berarak ke arah Parlimen untuk memprotes pemerintahan Prayut, bekas ketua tentera yang berkuasa dalam rampasan kuasa 2014.

Penunjuk perasaan berkumpul di persimpangan sebelum subuh untuk upacara memasang lilin.

Som, pelajar berusia 16 tahun, berkata dia tidak takut dengan risiko koronavirus.

“Kami tidak pernah ada demokrasi yang nyata,” kata Som kepada AFP.

“Negara ini tidak akan ke mana-mana.”

Pemimpin pelajar Parit “Penguin” Chiwarak - yang menghadapi tuduhan fitnah terhadap kerajaan dan dibebaskan dengan jaminan bulan lalu - turut turun ke jaln raya dengan memakai mahkota emas plastik dan membawa bendera.

Seorang penunjuk perasaan berpakaian seperti Patung Liberty AS dan para penunjuk perasaan membakar perlembagaan palsu - pada minggu yang sama parlimen Thailand membahaskan perubahan pada piagam negara itu.

“Tuntutan kami tidak akan diturunkan… Perlembagaan mesti datang dari rakyat,” kata Jatupat ‘Pai’ Boonpattararaksa melalui pembesar suara. – AFP, 24 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen