Pengasas McAfee disyaki bunuh diri dalam penjara Sepanyol


John MacAfee dipenjarakan sejak ditahan di lapangan terbang Barcelona pada Oktober tahun lalu, sebelum berlepas ke Istanbul. – Gambar EPA, 24 Jun, 2021.

PENGASAS perisian antivirus popular McAfee ditemui meninggal dunia dalam penjara di Sepanyol semalam, kata pihak berkuasa, beberapa jam selepas mahkamah membenarkan beliau diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) atas dakwaan mengelak cukai.

John McAfee, 75, disyaki membunuh diri di dalam sel tahanan di penjara Brians 2 di Barcelona, Sepanyol. 

Jabatan Kehakiman Catalonia mengesahkan McAfee ditemui mati kira-kira pukul 7 malam waktu tempatan, dan siasatan sedang dijalankan.

McAfee, yang memperoleh pendapatan jutaan euro hasil khidmat perundingan, mata wang kripto dan penjualan hak bagi dokumentari kisah hidupnya, didakwa dengan sengaja mengelak cukai antara 2014 dan 2018.

Beliau boleh dihukum penjara 30 tahun jika disabitkan bersalah.

Mahkamah Sepanyol semalam meluluskan proses ekstradisi McAfee ke AS. Mahkamah bagaimanapun membenarkan rayuan dan proses ekstradisi perlu mendapatkan kelulusan Kabinet Sepanyol.

MacAfee dipenjarakan sejak ditahan di lapangan terbang Barcelona pada Oktober tahun lalu, sebelum berlepas ke Istanbul.

Mahkamah AS memohon McAfee diekstradisi pada November tahun lalu. Mahkamah berkata McAfee meraih pendapatan lebih 10 juta euro dari 2014 hingga 2018 tetapi tidak pernah membayar cukai. – AFP, 24 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen