SEORANG individu berusia 38 tahun di Britain, semalam dipenjarakan atas kesalahan keganasan selepas berkongsi buku panduan bahan letupan dan video ekstrem, termasuk individu yang didakwa meraikan pembunuhan beramai-ramai di masjid New Zealand, dalam kumpulan sembang sayap kanan.
Michael Nugent dari Surrey, England selatan, menjadi admin bagi kumpulan sembang sayap kanan di aplikasi Telegram, menggunakan pelbagai identiti berbeza untuk menyatakan “kebenciannya terhadap etnik minoriti” dan berkongsi “dokumen berkaitan pengganas dengan orang lain”, menurut polis.
Seorang hakim di Kingston Crown Court di barat daya London menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya selama tiga setengah tahun.
“Nugent secara bebas berkongsi pandangan ekstremisnya dengan orang lain melalui aplikasi pesanan, dan beliau berkongsi manual yang memperincikan cara menghasilkan senjata dan alat letupan,” kata Komander Polis Metropolitan Richard Smith.
Beliau juga berkongsi rakaman serangan di Christchurch pada ulang tahun insiden yang berlaku pada Mac tahun lalu dan menyiarkan manifesto pengganas berkenaan, Brenton Tarrant.
Nugent ditangkap pada 19 Ogos tahun lalu dan pada mulanya didakwa dengan 12 kesalahan Akta Keganasan. Sebanyak enam pertuduhan kemudian ditambah.
Beliau mengaku bersalah atas lima tuduhan penyebaran penerbitan pengganas dan 11 tuduhan memiliki dokumen mengandungi maklumat yang mungkin berguna bagi seseorang yang menyiapkan atau melakukan tindakan keganasan.
Nugent meminta dibicarakan bagi dua tuduhan mendorong keganasan. Namun hakim memutuskan walaupun ada bukti yang cukup untuk pendakwaan, tiada kepentingan umum untuk meneruskan tuduhan tersebut. – AFP, 24 Jun, 2021.
Komen