TUGAS utama Parlimen apabila bersidang nanti ialah menyemak semula Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kata beberapa ahli parlimen.
Pandangan itu dikongsi oleh ahli parlimen kerajaan Perikatan Nasional dan pembangkang yang diminta pandangan mereka mengenai keutamaan Parlimen yang sekarang didesak supaya bersidang segera.
“Kenapa pemberian vaksin terlalu lambat sedangkan ini satu-satunya cara kita boleh mengawal pandemik dan membuka semula ekonomi, pendidikan dan kehidupan sosial,” tanya wakil rakyat tiga penggal R Sivarasa (Sungai Buloh-PH).
Ahli parlimen PKR berkata kerajaan mesti menjelaskan kenapa masa yang lama diambil untuk meluluskan vaksin, sehingga membawa kepada perolehan yang lambat.
“Kenapa kita tidak mencontohi negara-negara seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat yang menggunakan klinik swasta dan farmasi untuk mempercepatkan proses vaksinasi.
“Di Malaysia kita mengalih daya (outsource) proses ini kepada pusat pemberian vaksin (PPV) mega sedangkan ada lebih 7,000 klinik yang boleh melakukannya dengan kos yang kecil,” katanya yang juga seorang peguam.
Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) Shahidan Kassim (Arau-BN) juga setuju isu PICK harus jadi keutamaan.
“Bagi kita mudah saja. Program vaksin ini mesti dipercepatkan supaya orang ramai boleh membina semula kehidupan mereka.
“Kita mesti suntik vaksin kepada semua orang supaya risiko komplikasi teruk dapat dikurangkan,” katanya.
Sejak dilancarkan pada hujung Februari, sebanyak 6,3 juta dos vaksin sudah disuntik. Lebih kurang 1.72 juta orang atau 5.3% daripada penduduk sudah lengkap menerima dua dos suntikan sementara 4.57 juta lagi atau 14% menerima satu dos suntikan setakat 22 Jun.
Wakil rakyat Sandakan Vivian Wong pula berkata kerajaan perlu menerangkan dengan lebih jelas usaha memerangi pandemik Covid-19.
“Kitaran perintah kawalan pergerakan sekarang menunjukkan kerajaan gagal teruk melawan pandemik.
“Pendekatan kerajaan bersama rakyat mesti dipakai sekiranya kita mahu menang,” katanya.
Menurut Wong apa yang sudah dilakukan oleh kerajaan setakat ini perlu disemak semula kerana ia melibatkan perbelanjaan dana yang besar.
“Rakyat berhak tahu bila dan bagaimana kerajaan membelanjakan duit pembayar cukai,” tambahnya.
Ahli parlimen lain yang mahu program vaksinasi dikaji semula termasuk Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang-PH), Wong Shu Qi (Kluang-PH) dan Pang Hok Liong (Labis-PH).
Hassan berkata Parlimen patut diberitahu data terperinci mengenai pengagihan dan bekalan vaksin, serta strategi dan kemudahan yang digunakan dalam program vaksinasi itu.
Ahli Parlimen Padang Serai M Karupaiya pula berkata kerajaan mesti mempercepatkan pelaksanaan pasport vaksin.
“Ini akan menggalakkan rakyat disuntik vaksin. Yang belum vaksin tidak boleh berjalan jauh, tidak boleh makan di restoran, atau tidak boleh masuk pusat beli-belah.
“Masuk ke jabatan kerajaan mungkin tidak dibenarkan,” cadangnya.
Beliau juga mahu Parlimen membincangkan vaksinasi untuk pekerja asing dan pendatang tanpa izin kerana mereka adalah sebahagian daripada masyarakat.
“Kita tidak boleh nafikan hakikat ini,” katanya.
Beberapa ahli parlimen lain turut membangkitkan pentingnya Parlimen nanti membincangkan isu pemulihan ekonomi dan pendidikan.
Ordinan darurat
Selain itu, timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub (Pulai-PH) mahu Parlimen menyemak semula Ordinan Darurat yang dimasyhurkan sejak perisytiharan darurat pada pertengahan Januari lalu.
“Darurat ini tidak perlu. Walaupun kerajaan kata ia untuk membanteras Covid-19, darurat dipakai untuk menggantung Parlimen daripada bersidang dan menggubal ordinan.
“Saya nampak ordinan yang dikeluarkan bukan untuk kesihatan tetapi untuk kerajaan belanjakan wang. Kita mesti semak semula ordinan ini,” kata bekas menteri pertanian.
Sivarasa, yang juga peguam hak asasi, turut mempersoalkan keperluan kerajaan menggunakan darurat bagi membendung pandemik.
“Setakat ini apa yang dilakukan untuk membanteras Covid-19 boleh dilakukan mengikut undang-undang sedia ada seperti Akta Majlis Keselamatan Negara dan Akta Penyakit Berjangkit,” katanya.
Mengenai undi tidak percaya terhadap perdana menteri, Salahuddin berkata ia sebahagian daripada demokrasi berparlimen.
“Tiada apa yang salah dengan undi tidak percaya. Negara lain buat dan saya tidak bantah kerajaan bertukar, mengambil kira apa yang Perikatan Nasional buat dalam masa 18 bulan lepas.
“Ada banyak propaganda bagaimana kalau tukar kerajaan akan jejaskan pengurusan pandemik Covid-19, tetapi saya tidak fikir begitu.
“Banyak negara seperti Sweden dan Jepun yang tukar kerajaan di tengah pandemik, dan keadaan tidak lebih teruk.
“Malaysia sebaliknya lebih teruk walaupun kerajaannya sama,” katanya.
Ahli parlimen lain enggan mengulas kemungkinan undi tidak percaya terhadap kerajaan.
“Saya hanya hendak bangkitkan isu rakyat walaupun Umno sudah buat keputusan hanya sokong kerajaan sehingga pilihan raya akan datang.
“Saya tidak mahu cakap tentang isu lain,” kata Shahidan.
Semalam, semua ahli parlimen BN sepakat tidak akan menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan untuk perbahasan di Dewan Rakyat apabila Parlimen bersidang nanti.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka menegaskan untuk mengurangkan suhu politik, seperti yang dititah nasihat oleh Raja-Raja Melayu, sidang Dewan Rakyat nanti mesti memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan pandemik Covid-19. – 24 Jun, 2021.
Komen