Lelaki ugut wanita sokong Ain Husniza ditahan polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

SEORANG lelaki yang disyaki mengeluarkan ugutan terhadap seorang wanita yang memberi sokongan kepada pelajar sekolah menengah, Ain Husniza Saiful Nizam yang sebelum ini mendedahkan perbuatan seorang guru membuat gurauan rogol, ditahan polis.

Ketua Polis Putrajaya, A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan lelaki berkenaan.

Menurutnya, wanita itu membuat laporan polis di Putrajaya pada 10 Mei lalu mendakwa dia menerima ugutan menerusi Twitter oleh seorang lelaki yang berasal dari Kulim, Kedah.

“Jadi pengadu terasa diugut oleh suspek (lelaki tersebut) melalui komen yang ‘ditweet’.

“Lelaki itu ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis. Kami sudah menyita telefon bimbit lelaki itu dan dihantar oleh analisa forensik,” katanya.

Menurut A Asmadi, suspek baru tamat pengajiannya di United Kingdom dan siasatan masih diteruskan. 

“Isu ini bermula ketika suspek menjawab komen pengadu berhubung kes Ain Husniza.

“Keterangan Ain Husniza perlu untuk melengkapkan siasatan dalam kes pengadu (wanita) ini.

“Kes remaja tersebut sebenarnya disiasat oleh IPD Sungai Buloh manakala kes siasatan ini melibatkan wanita tersebut dan suspek berlainan,” katanya.

Pada 24 April lalu, Ain Husniza membuat laporan polis terhadap seorang guru dari sekolah yang disyaki mengeluarkan jenaka rogol semasa kelas pendidikan jasmani.

Video TikTok Ain yang memperincikan insiden itu menjadi viral dan mencetuskan kemarahan awam terhadap tingkah laku guru tersebut.

Susulan pendedahan itu, beliau menerima ancaman rogol daripada rakan sekolahnya. Tetapi beliau dan keluarganya tidak meneruskan tindakan polis selepas menerima permohonan maaf mereka.

Ain juga dipersenda sejak pendedahan perbuatan guru itu, termasuk menerima mesej kasar di Facebook yang dikatakan daripada pengetua SMK Puncak Alam tertulis “Ajarlah anak kurang ajar” dan “Hipokritnya anak setan pakai tudung”.

Komen itu ditinggalkan pada satu hantaran yang mempromosikan penampilan Ain dan ibunya Niza Sharifudin dalam sesi secara langsung Facebook dengan Khadijah Learning Center mengenai topik bersuara. – 23 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen