AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan empat bot nelayan Vietnam yang menangkap ikan di perairan Terengganu, pagi Isnin lepas.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata keempat-empat bot terbabit ditahan sekitar 77 hingga 78 batu nautika dari Kuala Terengganu antara 4 hingga 6 pagi.
“Pusat operasi APMM telah mengesan lebih empat bot nelayan Vietnam sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di lokasi berkenaan dan mengarahkan Kapal Maritim (KM) Nusa ke tempat kejadian.
“Sebanyak tiga buah bot ‘betina’ dan satu bot ‘jantan’ telah berjaya ditahan oleh APMM dan merampas sebanyak tujuh tan ikan campur, tujuh tan ikan baja, peralatan menangkap ikan serta 4,000 liter diesel yang keseluruhan dianggarkan bernilai RM6 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.
Muhammad Suffi berkata siasatan mendapati 46 kru termasuk tekong berusia 15 hingga 62 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Kesemua yang ditahan dibawa ke jeti APMM Terengganu untuk tindakan lanjut dan ujian saringan Covid-19.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara serta Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata APMM tidak berkompromi dengan nelayan asing yang menceroboh perairan negara dan mengaut hasil laut tanpa kebenaran.
“Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim,” katanya.
Menurut Muhammad Suffi, melalui Op Kuda Laut yang dijalankan di perairan pantai timur sejak 25 Jun tahun lepas sehingga semalam, sebanyak 103 bot telah ditahan dengan melibatkan jumlah rampasan sebanyak RM154.5 juta. – Bernama, 23 Jun, 2021.
Komen