Pegawai kanan direman, kes rasuah RM1 juta kontrak kerajaan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Suspek berusia 46 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah reman hari ini.– Gambar SPRM, 23 Jun, 2021.

SEORANG penolong setiausaha bahagian di sebuah kementerian direman selama lima hari oleh agensi anti rasuah untuk disiasat berhubung kes menerima rasuah dalam pelbagai bentuk yang dianggar berjumlah RM1 juta sebagai balasan membantu 11 syarikat mendapatkan kontrak.

Perintah reman sehingga 27 Jun dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 46 tahun ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya kira-kira 9 malam semalam selepas hadir memberi keterangan.

“Suspek ini menerima suapan berbentuk wang tunai berjumlah kira-kira RM300,000, barang kemas, tanah lot berkeluasan dua ekar, rumah kedai dua tingkat dan sebuah motosikal yang jumlah keseluruhannya dianggarkan lebih RM1 juta sejak 2016 hingga sekarang.

“Rasuah itu dipercayai sebagai balasan membantu 11 buah syarikat mendapatkan projek bekalan am, perkhidmatan dan pengangkutan di kementerian terbabit,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut sumber, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, SPRM memaklumkan ia sedang memantau jabatan-jabatan kerajaan yang disyaki terlibat dalam monopoli kartel projek kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pemantauan dibuat dengan kerjasama Kementerian Kewangan termasuk meneliti proses perolehan jabatan-jabatan berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu sedang dipantau terhadap jabatan-jabatan yang SPRM dapat maklumat wujudnya bentuk monopoli kartel ini.

Tindakan itu dibuat rentetan kejayaan SPRM melumpuhkan satu sindiket kartel projek susulan penahanan tujuh orang termasuk seorang ketua sindiket berusia 47 tahun pada April lalu.

Sindiket kartel projek itu telah memonopoli 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara membabitkan nilai projek RM3.8 bilion. – 23 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen