China, Laos, Myanmar, Thailand lancar rondaan bersama di Sungai Mekong 


Rondaan bersama empat negara itu diadakan demi memperkukuh pengawalan di kawasan perairan utama.– Gambar EPA, 23 Jun, 2021.

CHINA, Laos, Myanmar dan Thailand pada Selasa melancarkan operasi penguatkuasaan undang-undang dan rondaan bersama kali ke-106 di kawasan Sungai Mekong serta kempen mempromosi pengetahuan antidadah.

Sehari sebelum, simposium kerjasama antidadah dan mesyuarat komander membabitkan empat negara itu diadakan secara maya, sempena Hari Antidadah Antarabangsa ke-34 yang jatuh pada Sabtu ini.

Peserta simposium telah menganalisis situasi keselamatan dan jenayah dadah di rantau Sungai Mekong, di samping merumuskan kejayaan operasi 100 hari memerangi dadah di rantau tersebut.

Selain memutuskan untuk mengadakan rondaan bersama demi memperkukuh pengawalan di kawasan perairan utama, peserta juga bersetuju untuk melaksanakan kempen promosi pengetahuan antidadah agar penduduk di rantau ini mendapat jaminan keselamatan serta suasana bebas dadah.

China, Laos, Myanmar dan Thailand telah melakar kejayaan dalam kerjasama antidadah pada tahun ini, khususnya di Sungai Mekong sepanjang 100 hari sejak Mac lalu.

Kerjasama itu membuahkan hasil apabila 84 kes penyeludupan dadah seberat 7.416 tan dapat ditumpaskan selain 128 individu ditahan serta  lapan pistol dan 807 peluru dirampas. – Bernama, 23 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen