Lelaki mati dipukul kerana konsol permainan video


EMPAT individu termasuk seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, didakwa semalam kerana memukul seorang lelaki hingga mati kerana didakwa mencuri konsol permainan video, kata pendakwa Perancis.

Pendakwa Raya Poitiers Michel Garrandaux berkata ibu kepada mangsa berusia 31 tahun yang hanya dikenali sebagai John, membuat laporan selepas tidak dapat menghubunginya di rumahnya, hujung minggu lalu,

Notis orang hilang dikeluarkan pihak berkuasa dan rekod lokasi telefon mangsa membawa mereka ke sebuah rumah di bandar Chatellerault.

Pemilik rumah itu membuat aduan terhadap John pada bulan lalu, kerana mendakwa mangsa memecah masuk dan melarikan permainan video dan konsol permainan kanak-kanak.

Pada Ahad lalu, seorang wanita yang mengenali suspek memberitahu polis mereka ada bercakap mengenai kejadian bunuh seorang lelaki dan kemudian menanamnya di hutan.

Polis menyerbu rumah itu dan menahan dua lelaki, pasangan kepada seorang daripada mereka dan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun.

Polis memberitahu dua suspek lelaki masing-masing berusia 44 dan 35 tahun, sebelum ini terbabit dengan kes curi dan dadah.

“Pasangan kepada suspek pula disyaki bersubahat dengan menculik mangsa, menyerangnya kemudian memandu ke rumah rakan mereka serta mengikat mangsa, menendang dan memukulnya.

“Mereka mendakwa tidak mahu membunuhnya, mereka hanya mahu membuatnya mengaku mengambil permainan video terbabit,” kata Garrandaux.

Mangsa meninggal dunia pada Sabtu akibat cedera di bahagian kepala dan dada yang menyebabkannya lemas.

Dua daripada suspek menanam mayat mangsa di hutan kira-kira 15km dari bandar itu dan polis menemuinya kelmarin.

Ketiga-tiga suspek dewasa ditahan reman bagi menunggu perbicaraan dan suspek bawah umur, yang disyaki membantu membersihkan tempat kejadian, juga ditahan di pusat tahanan lain. – AFP, 23 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen