Pengilang kasut tidak mampu tunggu pelan pemulihan negara


Angie Tan

Penjual kasut kurangkan tempahan tahun ini kerana arahan bekerja dari rumah dan PKP tidak galak orang ramai keluar, kata pengilang kasut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun, 2021.

KILANG kasut yang dianggap sebagai aktiviti ekonomi bukan keperluan utama sepanjang penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0) penuh, kini berdepan masalah aliran tunai selepas menggantung perniagaan dan pembatalan tempahan penghantaran.

Hanya beberapa kilang kasut daripada 550 ahli Persatuan Pengilang Kasut Malaysia yang dibenarkan beroperasi kerana mereka membuat kasut untuk barisan hadapan, kata presiden persatuan itu Rachel Foo.

“Kilang berkenaan membuat kasut untuk polis, staf perubatan dan penjawat awam. Hanya pengilang ini dibenarkan beroperasi, tetapi jumlahnya kecil, sementara kilang lain dihentikan operasi,” katanya.

Dengan kebanyakan bekerja dari rumah dan PKP tidak menggalakkan orang ramai keluar rumah kecuali jika perlu, menyebabkan penjual kasut mengurangkan tempahan tahun ini.

Foo bimbang majoriti pembuat kasut, bersama kebanyakan sektor ekonomi lain, akan hanya dibenarkan beroperasi semula pada fasa tiga dalam pelan pemulihan negara, iaitu selepas Ogos, jika jumlah kes baharu harian Covid-19 kurang 2,000 dan imunisasi vaksin mencapai 40%.

“Industri kasut tidak akan dapat bertahan selama itu. Sektor apa yang boleh bertahan? Saya bimbang 90% daripada industri akan terjerumus dalam masalah aliran tunai dan risiko untuk muflis,” katanya.

Mereka yang sedang mempertimbangkan untuk menghentikan operasi dan memberhentikan pekerja juga bimbang mereka tidak akan dapat mencari pekerja lagi pada masa depan.

Sementara kerajaan menggalakkan perniagaan untuk berunding dengan bank bagi mendapatkan moratorium bayaran balik pinjaman atau penjadualan semula, realitinya ialah ia sangat sukar.

“Bila ahli persatuan ambil insiatif datang kepada bank, mereka dapat jawapan seperti ‘tidak ada arahan daripada ibu pejabat’.”

Pengerus Persatuan Industri Kasut Perak Lee Min Choy senada dengan Foo, berkata fasa tiga dalam pelan pemulihan negara terlalu lambat untuk membenarkan operasi industri itu dibuka semula.

Katanya, selain masalah aliran tunai, pengilang juga berdepan kerugian bahan mentah.

“Poliuretana (bahan digunakan untuk membuat kasut) ada tamat tempoh. Jika disimpan terlalu lama, ia akan rosak.

“Bahan ini membabitkan 40% kos membuat kasut, jadi jika ia tidak boleh digunakan, pengilang akan rugi besar,” kata Lee.

Kilang kasut Lee yang mengeksport tempahan ke Indonesia, Singapura dan Thailand turut berdepan masalah menepati jadual penghantaran, terutama selepas PKP 3.0 yang bermula pada 1 hingga 14 Jun dilanjutkan hingga 28 Jun.

“Bagaimana kita hendak beritahu pembeli yang pelan pemulihan negara kita hanya membenarkan kami beroperasi pada fasa ketiga,” kata Lee yang bakal berdepan kerugian kira-kira RM400,000 jika tempahan dibatalkan.

“Pembatalan tempahan eksport akan menyukarkan lagi kilang kasut tempatan untuk bersaing dengan negara lain. Pembeli akan pergi ke pengilang lain dan tidak akan kembali pada kami.” – 25 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen