Melawan pengangguran era Covid-19: Apa yang kami pelajari


PADA penghujung tahun lepas, saya dan beberapa orang rakan memulakan satu inisiatif untuk cuba membantu mereka yang hilang pekerjaan akibat pandemik mendapatkan pekerjaan. 

Pada peringkat awal analisis, kami mendapati ada dua masalah utama yang sedang berlaku dalam pasaran buruh di Malaysia – masalah ketidakpadanan kelayakan dan maklumat yang tidak sampai kepada pencari kerja. 

Kami sempat bertemu dengan beberapa organisasi yang relevan, termasuklah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan masalah pasaran buruh di Malaysia. 

Mereka berbesar hati memberikan kami laporan platform MyFutureJobs yang mereka gunakan untuk membantu orang ramai mencari kerja. Banyak data dalam laporan itu kami gunakan sebagai rujukan untuk mengembangkan idea membantu penganggur mencari kerja. 

Belanjawan 2021 dan masalah Covid-19 

Beberapa hari selepas kami melancarkan kerjasama dengan Perkeso, menteri kewangan membentangkan Belanjawan 2021 dengan unjuran sebanyak 500,000 peluang pekerjaan yang akan disediakan pada tahun ini. Walaupun kami menyambut baik usaha membantu rakyat mendapatkan pekerjaan, kami skeptikal dengan unjuran ini. 

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan jelas telah membunuh perniagaan, terutamanya Industri Kecil Sederhana (IKS). Apa yang berlaku bukanlah pertambahan peluang pekerjaan, tapi banyak perniagaan terpaksa ditutup – yang secara langsung menyebabkan kadar pengangguran meningkat. 

Sekiranya kita tidak mempunyai perancangan yang jelas untuk menangani Covid-19, kadar pengangguran akan semakin meningkat. 

Pengumuman terbaru perdana menteri tentang ‘exit plan’ Covid-19 jelas tidak membantu, memandangkan ia datang dalam pakej yang terlalu umum. 

Ketika dalam proses membantu orang ramai mencari kerja, kami dapati kebanyakan para pencari kerja tidak kisah dengan apa jua pekerjaan yang ditawarkan, mereka ingin bekerja. Keadaan ini berlaku kerana ramai rakyat yang sedang terdesak kerana kehilangan pekerjaan dan kehabisan simpanan. 

Sebab itu kami akan menolak apa-apa jua kenyataan yang mengatakan para pencari kerja cerewet dalam mencari kerja. 

Selain itu, kami mendapati kebanyakan mereka yang sedang menganggur adalah mereka yang memiliki ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang. Malangnya, ketika pandemik, kebanyakan kekosongan pekerjaan adalah dari sektor kemahiran. 

Hal ini selari dengan analisis awal kami yang mengatakan masalah ketidakpadanan yang teruk sedang berlaku dalam pasaran buruh kita. 

Kami juga mendapati statistik yang ada tidak semestinya menggambarkan kebenaran. Ada beberapa laporan yang kami terima dari para pencari kerja yang mengatakan jumlah peluang pekerjaan yang disebutkan dalam portal-portal mencari kerja tidak benar. 

Walaupun dikatakan ada ratusan pekerjaan tersedia, ramai antara pemohon tidak menerima apa-apa respons selepas memohon, walaupun jumlah permohonan untuk satu-satu pekerjaan itu masih rendah. 

Sudah tiba masanya kita melakukan audit terhadap iklan-iklan pekerjaan yang dimuat naik di portal-portal kerajaan, lebih-lebih lagi jika tawaran disertai subsidi kerajaan. 

Antara perkara terburuk yang boleh terjadi adalah – mereka mengiklankan tawaran pekerjaan untuk mendapatkan subsidi/insentif daripada kerajaan – walaupun pekerjaan itu telah diisi. 

Projek ini juga menyedarkan kami tentang betapa rapuhnya jaringan keselamatan sosial yang ada di negara kita. Separuh daripada pekerja yang berumur 54 tahun ada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kurang daripada RM50,000; dan 75% rakyat Malaysia tidak ada simpanan lebih dari RM1,000 untuk kecemasan. 

Oleh sebab itu kami sering mengatakan perlunya ada bantuan tunai diberikan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan, berbentuk elaun pengangguran. Elaun ini boleh datang dalam bentuk tunai dan baucer makanan asas. 

Meminta para pekerja menghabiskan tabung persaraan mereka melalui i-Sinar dan i-Lestari hanya akan mendatangkan konflik yang besar pada masa hadapan. Kerajaan harus mengeluarkan wang untuk membantu kelompok rentan, bukan meminta mereka memecahkan tabung. 

Separuh masa kedua 2021 masih sukar dan mungkin akan lebih teruk

Baru-baru ini pemuda Perikatan Nasional ada memperkenalkan AkuPN – secara modus operandinya ia sama dengan apa yang kami lakukan. Kami harap dengan sumber yang lebih besar mereka akan berjaya. 

Setakat pertengahan tahun ini, inisiatif kami (Berikerja) dengan kerjasama Mingguan Kerja dan Salam Kerjaya telah meraih jumlah pengunjung lebih dari sejuta sebulan. Cuma kunjungan ini tidak ada ertinya jika kami tidak mampu membantu orang ramai mendapatkan pekerjaan. 

Berikerja menjangkakan keadaan yang lebih teruk apabila wang dari Skim Insurans Pekerjaan (SIP) akan habis untuk mereka yang hilang pekerjaan pada hujung tahun lepas. Hal yang sama juga boleh dikatakan untuk mereka yang telah mengeluarkan i-Sinar pada awal tahun ini. 

Melihat keadaan Covid-19 yang semakin tidak terkawal di Malaysia, kami pesimis dengan apa yang berlaku pada pasaran buruh kita pada tahun ini.  – 23 Jun, 2021.

* Rahman Imuda, penyelaras Berikerja.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen