TAHAP kepercayaan masyarakat terhadap media meningkat semasa pandemik Covid-19 dan mendorong syarikat berita beralih kepada platform digital, menurut laporan tahunan Reuters Institute.
Laporan edisi sepuluh yang diterbitkan hari ini menyebut keyakinan masyarakat terhadap berita dalam talian naik kepada 44% sejak dunia mula dilanda pandemik.
Dapatan itu diperolehi melalui tinjauan pendapat oleh YouGov, membabitkan lebih 92,000 responden di 46 negara.
Tahap kepercayaan responden paling tinggi di Findland iaitu 65%, manakala Amerika Syarikat terendah dengan 29%. Perancis menunjukkan peningkatan 7% kepada 30% berbanding tahun lalu, kata laporan itu.
Ketua penyelidik Nic Newman berkata laporan berita yang lebih menumpu kepada perkembangan krisis pandemik Covid-19 mungkin meningkatkan kepercayaan masyarakat.
“Kesan ini mungkin sementara, tetapi di kebanyakan negara khalayak ramai kini mempercayai sumber berita yang tepat dan boleh dipercayai.”
Reuters Institute yang berpangkalan di Universiti Oxford juga mendapati kepercayaan terhadap media arus perdana meningkata terutamanya di negara-negara mengamalkan kebebasan media.
Media cetak bagaimanapun semakin kurang mendapat sambutan kerana pembaca kini semakin ramai melanggan berita dalam talian, katanya.
Dalam kalangan negara berpendapatn tinggi, penduduk Norway paling ramai melanggan berita dalam talian iaitu sebanyak 45%, diikuti Sweden 30%. Manakala AS (21%), Perancis (11%), Jerman (9%) dan Britain (8%). – AFP, 23 Jun, 2021.
Komen