KETUA tentera Myanmar semalam berterima kasih kepada Rusia yang menjadi pembekal utama senjata ke negara bergolak itu, sekali gus menguatkan pasukan keselamatannya sehingga berjaya merampas kuasa.
Rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi pada Februari lalu menyebabkan situasi kacau bilau di Myanmar sejak itu.
Rusia juga menentang sekatan negara Barat terhadap junta tentera di Myanmar.
“Terima kasih kepada Rusia, tentera kami kini antara yang terkuat di rantau ini,” kata Min Aung Hlaing dipetik agensi berita Rusia TASS, menambah hubungan antara dua negara itu “bertambah kukuh”.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Rusia Sergei Shoigu di Moscow semalam.
TASS juga melaporkan Shoigu berkata Myanmar adalah rakan strategik dan sekutu yang dipercayai Rusia.
“Kerjasama tentera ‘komponen penting’ dalam hubungan Rusia-Myanmar.
“Kami komited untuk terus memperkukuhkan hubungan dua hala,” katanya.
Hlaing hadir di Moscow pada Ahad bagi menghadiri sidang keselamatan selama tiga hari. Ini merupakan lawatan ke luar negara kedua Hlaing sejak rampasan kuasa di Myanmar.
Isnin lalu, beliau mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Majlis Keselamatan Rusia Nikolai Patrushev, dan kedua-duanya setuju untuk memperbaiki hubungan antara dua negara.
Hlaing kemudian bertemu Alexander Mikheyev, ketua pengeksport senjata Rusia Rosoboronexport, berbincang mengenai potensi kerjasama teknikal.
Sekurang-kurangnya 870 orang awam terbunuh akibat kekerasan tentera sejak rampasan kuasa di Myanmar, menurut badan pemantau. – AFP, 23 Jun, 2021.
Komen