Kastam China rampas 1.6 tan dadah sejak 2020


Sejak 2020 1.6 tan dadah pelbagai jenis serta bahan kimia untuk menghasilkan dadah seberat 106 tan dirampas di China. – Gambar EPA, 22 Jun, 2021.

MENJELANG sambutan Hari Antidadah Antarabangsa pada 26 Jun depan, Jabatan Am Kastam China (GAC) mengumumkan pihaknya sudah merampas kira-kira 1.6 tan dadah setakat ini.

Selain itu, GAC berkata sejumlah 850 kes penyeludupan dadah dan 16 kes seludup bahan untuk menghasilkan dadah telah ditumpaskan.

“Sejak 2020 1.6 tan dadah pelbagai jenis serta bahan kimia untuk menghasilkan dadah seberat 106 tan dirampas,” kata GAC pada Isnin.

Pada masa sama, menurut GAC, pihaknya telah menumpaskan lebih 100 sindiket menyeludup dan mengeluarkan dadah.

Ketua Pengarah Jabatan Antidadah GAC, Sun Zhijie berkata kegiatan penyeludupan dadah dari luar negara ke China kini masih serius.

“Sekarang terdapatnya dadah tradisional, dadah sintetik dan bahan psikoaktif yang baharu, sekali gus menjadikan bahan pengeluaran dadah bertambah banyak,” tambah beliau.

GAC berikrar untuk terus membanteras rangkaian pengeluaran dan penyeludupan dadah, selain memperkukuh kerjasama antidadah dengan negara luar.

“Kami akan bekerjasama rapat dengan beberapa negara dan kawasan utama supaya pelaksanaan pengkuatkuasaan undang-undang untuk membanteras rangkaian sindiket penyeludupan dapat dilakukan secara menyeluruh,” ujar Sun. – Bernama, 22 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen