Indira Gandhi mohon PM bantu cari anaknya


Noel Achariam

M Indira Gandhi berkata Prasana dibawa lari bekas suaminya sejak bayi dan ini bukan isu agama, tetapi beliau sebagai ibu mahu bertemu anaknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2021.

KECEWA dengan kurang tindakan daripada polis, M Indira Gandhi kini mohon bantuan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mencari di mana anak perempuannya yang masih hilang.

Indira berkata beliau minta bantuan Muhyiddin dan MKN untuk mengesan anaknya Prasana Diksa, 13, yang dibawa lari oleh bekas suaminya ketika masih bayi.

Katanya, Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) menghantar surat pada 26 Mei meminta untuk bertemu Muhyiddin dan MKN.

“Kami berurusan dengan polis banyak kali tetapi tidak ada perkembangan. Kami mahu berjumpa perdana menteri dan MKN untuk mendapatkan respons di mana Prasana berada.

“Kami tidak mahu perkara ini berlanjutan lagi kerana saya sudah lama tidak jumpa dan tidak bercakap dengan Prasana,” katanya selepas sidang akhbar hari ini.

Indira berkata sudah terlalu lama beliau terpisah daripada anaknya itu.

“Mana-mana ibu pun tidak seharusnya melalui keadaan ini. Ini bukan isu agama tetapi hanya seorang ibu yang mahu bertemu anaknya.”

Pengerusi Ingat Arun Dorasamy berkata mereka sudah penat hendak berurusan dengan polis dalam usaha mencari Prasana.

“Kami akan usahakan pertemuan dengan Muhyiddin dan MKN. Perkara ini sudah terlalu lama.

“Kami tidak dapat kerjasama penuh daripada polis. Kami sudah cuba semua cara untuk mengembalikan Prasana kepada ibunya seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Ipoh.”

Sementara itu, peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Indira berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendengar dua permohonan interlokutori.

Beliau berkata permohonan pertama difailkan Pejabat Peguam Negara yang bertindak bagi pihak ketua polis negara dan polis.

“Pejabat Peguam Negara memfailkan untuk menolak permohonan kami. Kami membantah permohonan itu.” – 22 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen